Shukor tuntut aksi cemerlang di Larkin



KAPTEN Melaka United, Muhammad Shukor Adan (dua dari kanan) menghalang kemaraan pemain Pahang FA, Saddil Ramdani (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Kapten pasukan Melaka United (MU), Shukor Adan menuntut aksi cemerlang rakan sepasukan ketika berdepan skuad juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman lawan, Sabtu ini.
Sehubungan itu, dia yakin gandingan jitu skuad pelawat bakal 'menggegar' Stadium Larkin walaupun sedar tuan rumah akan bertindak agresif untuk menafikan impian MU meraih mata maksimum.
Shukor juga optimis dengan disiplin tinggi serta corak tersusun rakan sepasukan yang tampil cemerlang pada tiga perlawanan awal untuk merencanakan persembahan berkualiti sepanjang 90 minit perlawanan di Larkin.
Malah pengalaman beberapa rakan sepasukan yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Selatan termasuk Safiq Rahim, R Gopinathan dan Nazrin Nawi antara senjata ampuh untuk mengimbangi kekuatan pasukan lawan.
"Walaupun skuad JDT tampil dengan corak permainan berbeza berbanding sebelum ini, ia bukan halangan buat skuad Hang Tuah daripada terus memberikan cabaran.
"Corak permainan MU juga berbeza kali ini, yang penting pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang mencipta kemenangan," katanya.
Sebagai 'jeneral padang' dia sememangnya mengimpikan tiga mata di gelanggang keramat lawan, sekali gus menuntut aksi kesemua rakan sepasukan untuk tampil berjuang habis-habisan bagi merealisasikan impian berkenaan.
Shukor yang lebih 20 tahun berkelana dan hanya pulang beraksi untuk negeri kelahiran musim ini, dilihat antara pemain paling berpengalaman untuk menjulang kejayaan besar skuad terbabit di pentas Liga Malaysia 2019.
Dia yang pernah menikmati saingan kelayakan Piala Dunia 2002 selain menyumbang pingat perak di pentas Sukan SEA 2001 serta mewakili negara berdepan pasukan terhebat dunia termasuk Brazil, Manchester United dan Chelsea, jelas akan menggunakan segala pengalaman dan kudrat yang ada untuk mengekang JDT.
Malah, bekas pemain Negeri Sembilan, Selangor, ATM dan FELDA United itu pastinya mahu merekodkan kejayaan manis bersama pasukan Hang Tuah musim ini selepas menggenggam kejuaraan termasuk Pestabola Merdeka, Piala Sumbangsih, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA.
Berikutan itu, perlawanan berdepan JDT dilihat permulaan untuk membuktikan MU mampu sebaris skuad pilihan terbabit sekali gus melayakkan pasukan Melaka muncul antara empat kelompok skuad terbaik musim ini.

Ulasan