KAPTEN Melaka United (MU), Shukor Adan menuntut aksi cemerlang rakan sepasukan ketika berdepan skuad juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang lawan, Sabtu ini.
Sehubungan itu, dia yakin gandingan jitu pasukannya bakal 'menggegar' Stadium Larkin walaupun menyedari tuan rumah akan bertindak agresif untuk menidakkan impian MU meraih mata maksimum.
Padanya, dia juga optimis dengan motivasi tinggi serta rangkaian tersusun rakan sepasukan yang tampil cemerlang pada tiga perlawanan awal untuk merencanakan persembahan berkualiti sepanjang 90 minit perlawanan di Larkin.
Malah pengalaman beberapa rakan sepasukan yang pernah menikmati aksi bersama skuad Harimau Selatan termasuk Safiq Rahim, R Gopinathan dan Nazrin Nawi antara senjata yang baik untuk mengetahui serba sedikit kekuatan dan kelebihan pasukan lawan.
"Walaupun skuad JDT tampil dengan corak permainan berbeza berbanding sebelum ini, ia bukan halangan buat skuad Hang Tuah daripada terus memberikan cabaran.
"Corak permainan MU juga berbeza kali ini. Bagi saya atas kertas bukan ukuran sebenar untuk membuat penilaian tepat. Apa yang lebih penting pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang mencipta kemenangan," katanya.
Sebagai 'jeneral padang' dia sememangnya mengimpikan tiga mata di gelanggang keramat lawan, sekali gus menuntut aksi kesemua rakan sepasukan untuk tampil berjuang habis-habisan bagi merealisasikan impian berkenaan.
Shukor yang lebih 20 tahun berkelana dan hanya pulang beraksi untuk negeri kelahiran musim ini, dilihat antara pemain paling berpengalaman untuk menjulang kejayaan besar skuad terbabit di pentas Liga Malaysia 2019.
Dia yang pernah menikmati saingan kelayakan Piala Dunia Belia 2002 selain menyumbang pingat perak di pentas Sukan SEA 2001 serta mewakili negara berdepan pasukan terhebat dunia termasuk Brazil, Manchester United dan Chelsea, jelas akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk melayan kegarangan JDT.
Malah, bekas pemain Negeri Sembilan, Selangor, ATM dan Felda United itu pastinya mahu merekodkan kejayaan manis bersama pasukan Hang Tuah musim ini selepas menggenggam kejuaraan termasuk Pestabola Merdeka, Piala Sumbangsih, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA.
Berikutan itu, perlawanan berdepan JDT dilihat asas penting untuk membuktikan MU mampu sebaris skuad pilihan terbabit sekali gus melayakkan pasukan itu muncul antara kelompok empat terbaik musim ini.
Ulasan
Catat Ulasan