“SETIAP perlawanan yang ditempuhi amat mencabar kerana semua pasukan mahu menewaskan kami. Jadi kami tidak boleh terlalu selesa walaupun beraksi di laman sendiri,” kata pemain sayap kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera.
Cabrera yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Perak 1-0 pada aksi pertama Liga Super minggu lalu mahu kesempatan beraksi di laman sendiri digunakan sebaik mungkin untuk mengalahkan Kuala Lumpur di Larkin, malam esok.
Pemain dari Argentina itu tampak bersedia untuk mengekalkan persembahan prestasi cemerlang dan konsisten walaupun sedar dia akan menjadi sasaran utama anak buah Yusri Che Lah.
Bagaimanapun, dia menyifatkan pertembungan menentang Kuala Lumpur bukan tugas mudah dan harus lebih berwaspada dengan helah skuad Warga Kota yang pasti ingin bangkit selepas tewas 1-3 kepada Pahang.
“Kami sudah lalui perlawanan yang sukar ketika menentang Perak dan kemenangan ke atas pasukan itu penting bagi meningkatkan keyakinan, saya gembira gol itu membantu JDT mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah.
“Kami harus konsisten dan mengamal corak permainan efektif tanpa melakukan kesilapan mudah, semua tahu apabila pasukan lain menentang JDT, mereka akan beri persembahan lebih 100 peratus.
Cabrera menegaskan JDT pasukan terbaik di negara ini dan perlu membuktikan reputasi itu serta berusaha mempamerkan aksi menghiburkan selain mencipta kemenangan tidak kira di laman sendiri mahupun di gelanggang lawan.
“Semua pemain tidak boleh pentingkan diri sendiri sebaliknya sentiasa bekerjasama antara satu sama lain,” katanya yang mahu pemain Kuala Lumpur, Guilherme de Paula diawasi.
Ulasan
Catat Ulasan