Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meluahkan bahawa semua pasukan bermain bersungguh-sungguh menentang JDT kerana ingin menghentikan dominasi mereka, yang telah memenangi kejuaraan liga selama lima musim berturut-turut.
Oleh itu, baginda ingin menegaskan kepada para pemain pasukan Harimau Selatan supaya memahami fakta ini dan melakukan persediaan terutamanya dari segi mental apabila turun beraksi mana-mana pasukan dalam saingan Liga Super.
“Pemain JDT perlu bersedia dan perlu memahami bahawa setiap pasukan akan beraksi biasa-biasa sahaja antara satu sama lain tetapi sebaliknya ketika menentang kami, di mana mereka akan memberikan 200% seolah-olah ia adalah perlawanan akhir.”
“Kita mesti faham dan terima hakikat bahawa kita menentang semua orang dan semua orang menentang kita, untuk cuba menghentikan dominasi kita. Jika pemain JDT tidak bersedia dari segi psikologi untuk memahami fakta ini, kami akan menghadapi masalah.”
Baginda yang juga merupakan Tunku Mahkota Johor turut meyakinkan para penyokong bahawa sepertimana tahun-tahun sebelumnya, walaupun berhadapan dengan kesukaran pada awal musim namun dengan penambahbaikan dan kerja keras yang berterusan sepanjang musim, akhirnya kejuaraan kekal menjadi milik JDT.
“Saya yakin pasukan akan ‘improve’.”
“Kami perlu terus bekerja keras dan sentiasa menambahbaik. Setiap tahun perkara yang sama berlaku. Setiap tahun kami menghadapi kesukaran pada awal musim tetapi sentiasa terdapat sinar cahaya di penghujung jalan. Tahun ini tidak berbeza.
“Kami akan terus bergelut dengan kesukaran, dan dijangka lebih banyak kesukaran lagi tahun ini kerana saya fikir ‘blueprint’ mereka mudah, iaitu bermain saja-saja apabila menentang sesama sendiri dan memberikan segalanya apabila menentang JDT”.
“Tidak menjadi masalah. Kami hanya perlu bersedia dan menerima cabaran tersebut.”
“Ini adalah perkara yang perlu anda atasi apabila menjadi sebuah kelab yang berjaya. Setiap kelab yang berjaya di dunia juga menghadapi cabaran dan masalah yang sama.” ucapnya menerusi laman sosial, JOHOR Southern Tigers.
Mengulas mengenai perlawanan ke-3 bertemu Terengganu FC (TFC), baginda kagum dengan persembahan anak buah Irfan Bakti yang sangat cemerlang menentang pasukannya. Bagaimanapun, TMJ turut melahirkan kehairanan apabila persembahan yang sama tidak dijelmakan dalam dua perlawanan sebelum ini.
Dan baginda turut kecewa dengan mutu pengadilan pada perlawanan tersebut. Berdasarkan pendapatnya, terjahan Aidil Zafuan ke atas Kipre Tchetche sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti.
“Bagi saya pemenang semalam adalah Terengganu. Sepakan penalti kedua yang diberikan kepada kami mungkin bukan penalti manakala terjahan dari belakang oleh Aidil ke atas penyerang Terengganu tersebut memang sepatutnya diberikan penalti.”
“Saya tidak pernah melihat Terengganu beraksi sebaik itu, tidak sewaktu menentang PKNS dan tentunya tidak sebegitu ketika menentang Pahang.” katanya lagi.
Foto Kredit: HRH Crown Prince of Johor
Ulasan
Catat Ulasan