Kecederaan yang menimpa dua tonggak import skuad gergasi merah, Rufino Segovia dan Taylor Regan telah meresahkan pengendali pasukan itu, B. Satiananthan menjelang pertemuan menentang juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam malam esok.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, Satiananthan memberi bayangan kemungkinan dua pemain tersebut tidak dapat diturunkan ketika Selangor memerlukan kekuatan terbaik untuk berdepan skuad Harimau Selatan itu.
Hal ini kerana Segovia yang mengalami kecederaan otot perut gagal menamatkan sesi latihan terakhir semalam dan situasi Regan masih 50-50.
Selain itu, khidmat penyerang tempatan berpengalaman, Khyril Muhymeen Zambri juga tidak dapat digunakan dalam perlawanan itu ekoran kecederaan.
“Rufino tidak pernah seperti itu. Apabila berlatih, dia akan berlatih bersungguh-sungguh.
“Tetapi hari ini dia minta untuk keluar kerana kesakitan di perut. Ia menunjukkan kami kurang bernasib baik.
“Saya tidak tahu mengapa ia boleh terjadi, namun saya berharap mereka berdua dapat diturunkan ketika kami berdepan pasukan terkuat di Malaysia,” katanya.
Ketibaan dua pemain baharu yang ditandantangani sebelum jendela perpindahan pertama ditutup iaitu Fandi Othman dan Sandro Da Silva bakal memberi kekuatan tambahan kepada Selangor.
Satiananthan turut menjelaskan Sandro tidak dapat diturunkan pada pertemuan menentang Pahang minggu lepas kerana masih ‘jet lag’ dan baru sahaja tiba di Malaysia dari Brazil.
“Bukan senang buat Sandro yang baru tiba dari Brazil dengan penerbangan 30 jam. Dia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk menyesuaikan diri.
“Nuri pula beraksi baik sewaktu menentang Pahang, jadi saya akan mengekalkannya di posisi pertahanan kiri,” tambahnya.
Ulasan
Catat Ulasan