MELAKA: Bekas pertahanan kebangsaan, Azmil Azali menjangkakan pertemuan Melaka United (MU) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam ini bakal memberikan saingan sengit dan menarik.
Malah, skuad Hang Tuah yang hadir dengan imej baharu dilihat mampu mengejutkan JDT jika barisan pertahanan tuan rumah sedikit alpa dalam tempoh 90 minit pertarungan.
Baginya yang pernah beraksi bersama Melaka dan Johor, rekod pertemuan yang memihak kepada Harimau Selatan termasuk pernah menang 7-0 di gelanggang sama pada 2017 bukan lagi satu kelebihan berikutan pelawat hadir dengan misi lebih garang.
Azmil berkata, perancang utama MU yang juga bekas pemain JDT, Safiq Rahim bakal memberi masalah kepada tuan rumah menerusi kemampuannya untuk menguasai barisan tengah.
“Namun saya masih yakin JDT mampu menewaskan MU pada aksi di laman sendiri tambahan menerusi sokongan padu peminat setia yang sudah sebati dengan corak dan perjalanan pasukan di gelanggang keramat terbabit.
“Apapun, saya tetap mahu melihat persembahan menarik daripada kedua-dua pasukan menerusi serang balas pantas sekali gus menghiburkan peminat setia dan penyokong Hijau Putih yang hadir,” katanya.
Anak kelahiran Pulau Sebang, Melaka yang kini menetap di Johor Bahru itu bagaimanapun tetap berbelah bahagi mengenai sokongannya.
Namun, dia yang lebih lama beraksi bersama Johor berbanding hanya semusim menyertai Melaka berkata, JDT sememangnya tidak boleh keciciran mata sebaliknya perlu melompat lebih baik untuk melepasi zon empat teratas waktu ini.
Azmil turut meramalkan JDT mampu menewaskan MU 3-1.
Ulasan
Catat Ulasan