MELAKA: Pemain berpengalaman Melaka United (MU), Safiq Rahim menganggap saingan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin, Sabtu ini, amat mencabar buat skuad berkenaan.
Baginya, berdepan lawan hebat yang memiliki reputasi gah di kancah Liga Malaysia itu nyata ujian getir buat skuad Hang Tuah yang mengimpi kutipan mata berharga di gelanggang lawan.
Menurutnya, beraksi di depan penyokong tuan rumah antara faktor yang memberi sedikit tekanan kepada barisan pelawat, namun ia bukan halangan sebenar untuk berusaha gigih mengejutkan skuad Harimau Selatan.
"Walaupun memiliki banyak pengalaman bermain bersama skuad berkenaan namun ia bukan kelebihan buat saya untuk mengetahui kelemahan dan kekuatan mereka.
"Selepas tidak lagi bersama pasukan terbabit musim ini, mereka dilihat tampil amat berbeza. Secara jelas musim ini JDT memiliki keistimewaan tersendiri begitu juga musim lalu dan sebelumnya. Justeru hanya fokus sepenuh jiwa mampu membentuk rangkaian yang lebih efektif," katanya yang beraksi bersama JDT pada 2013-2018.
Beliau berkata, hanya sentuhan terakhir di gelanggang bakal menentukan pemenangnya Sabtu ini walaupun mengakui ada jurang membezakan skuad JDT dan MU.
Safiq berkata, rakan sepasukannya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengharungi ujian sebenar selepas skuad Hijau Putih memperoleh keputusan baik selepas tiga perlawanan awal, termasuk ketika mengikat Pahang 1-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, minggu lalu.
Justeru, dia mengharapkan persembahan kali ini juga menunjukkan lebih banyak peningkatan positif untuk memberi tekanan kepada lawan.
Bekas kapten kebangsaan itu berkata, jika tidak memperoleh tiga mata maksimum setidak-tidaknya MU harus meraih satu mata cukup bernilai.
"Terserah kepada jurulatih untuk menentukan kesebelasan utama pasukan, tetapi sebagai pemain menjadi misi kami untuk mengekalkan rekod tanpa kalah," katanya yang dilihat bakal memikul tugas besar berdepan pasukan lamanya itu.
Safiq yang juga bekas pemain Selangor (2007-2008 dan 2010-2012) itu juga bakal menggunakan kelebihan yang ada untuk meredakan tekanan terhadap rakan sepasukan selain menjadi 'duri dalam daging' buat tuan rumah.
Ulasan
Catat Ulasan