Safee Sali akhirnya mengalah, akan kembali bermain di Liga Super


Safee Sali akhirnya mengalah, akan kembali bermain di Liga Super


Setelah lebih dua bulan bertahan dan memberi masa yang begitu lama kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk menyelesaikan segala kemelut termasuk tunggakan gaji serta janji-janji yang telah ditabur, Safee Sali akhirnya mengalah.
Bekas penyerang kebangsaan itu mengesahkan telah membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama Perlis dan menyertai pasukan lain sejurus sebelum pintu perpindahan pertama Liga Malaysia 2019 ditutup pada Rabu ini.
Pemain berusia 35 tahun itu berkata meskipun ia satu keputusan yang cukup berat namun ia adalah demi kelangsungan karier dan masa depannya apatah lagi dia mempunyai keluarga untuk ditanggung.
Justeru itu, Safee Sali juga berharap agar keputusan ini difahami para penyokong Perlis yang telah memberikan sokongan penuh kepadanya sejak dia menyertai skuad Singa Utara pada Disember lalu lantas menuntut pengurusan PFA belajar sesuatu daripada apa yang berlaku ini.
“Saya telah sedaya upaya untuk bersikap positif dan mengharapkan sesuatu yang baik akan berlaku, namun saya tidak nampak perubahan dan untuk terus menunggu dan menunggu pastinya bukan satu keputusan tepat apatah lagi jendela perpindahan hampir ditutup dan tiada jaminan mengenai masa depan di sini.
“Saya ada keluarga dan tidak rela memperjudikan masa depan mereka, jika saya terus bertahan dan memberi muka, PFA akan terus bersikap sambil lewa.
“Saya harap mereka sedar benda ni (tunggakan gaji) tidak boleh dipandang mudah, dan tidak sesekali lepas tangan, carilah penyelesaian dengan kadar segera. Keputusan saya ini harus membuka mata mereka kerana ini bukan semata mata mengenai nasib bolasepak Perlis, tetapi ianya mengenai nasib pemain dan periuk nasi mereka.
“Kepada penyokong, terima kasih saya ucapkan dan saya minta maaf kerana sampai di sini sahaja jodoh kita,” kata Safee Sali kepada Foxsports.
Safee Sali pada Isnin sekadar hadir untuk menyaksikan dan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan yang menjalani latihan di padang Universiti Malaya, menjelang aksi keempat Liga Premier menentang Kelantan pada Jumaat ini.
Mengenai pasukan yang akan disertainya, Safee Sali memberi bayangan bahawa ianya adalah sebuah pasukan Liga Super manakala Stadium Astro melaporkan pasukan itu berkemungkinan besar adalah Petaling Jaya City (PJ City) sekaligus menepis tanggapan dia akan menyertai Selangor mahupun pasukan Liga Premier Kelantan.

Foto : Northern Lions Perlis

Ulasan