Ramainya pilih JDT...


JOHOR Darul Ta’zim memiliki kombinasi pemain bintang terbaik negara jadi tidak hairan ramai memilih mereka menang pada Perlawanan Sumbangsih menentang Perak, malam esok.
Rata-rata jurulatih pasukan dan bekas pemain meramalkan skuad kendalian Luciano Figueroa tiada masalah mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah.
Malah bekas pemain kebangsaan dan Perak, Khalid Jamlus turut mengakui JDT pasukan elit yang sukar untuk dicabar terutama ketika bermain di gelanggang sendiri, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam esok.
“JDT juga mempunyai penyerang import yang berbisa iaitu bekas penjaring terbanyak Liga Thailand, Diogo Luis Santo yang sebelum ini mewakili Buriram United,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi bekas pemain kebangsaan Serbegeth Singh, pengurusan JDT yang mantap dan sistematik menyebabkan pemain boleh memberi lebih tumpuan kepada perlawanan itu.
“Musim ini JDT hadir dengan skuad lebih hebat berbanding sebelum ini dan mungkin agak sukar untuk Perak memberi saingan hebat kepada mereka,” katanya.
Namun, bekas pengendali skuad bawah 22 tahun negara Razip Ismail berkata, pasukan The Bos Gaurus sentiasa membuat kejutan terutama ketika berkunjung ke gelanggang lawan.
“Mengikut rekod, Perak pernah membuat kejutan menewaskan JDT di gelanggang sendiri dan perkara itu tidak mustahil boleh diulangi anak buah Mehmet Durakovic.”

Ulasan