Hari ini di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin akan berlangsungnya perlawanan minggu kedua unifi Liga Super Malaysia 2019, membabitkan pasukan tuan rumah, JDT yang akan menanti kunjungan Kuala Lumpur.
Apakah perkara yang perlu anda ketahui menjelang sepak mula perlawanan pada malam ini?
JDT FC
JDT memulakan kempen liga mereka dengan kemenangan 1-0 dalam perlawanan menentang Perak, juga di venue yang sama pada minggu lalu.
Jika menentang Kuala Lumpur, kelibat Aaron Niguez cukup mencuri tumpuan dengan larian dan usaha keras yang tidak pernah putus dari minit pertama, perkara sama turut dijangkakan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur.
Bahagian serangan kanan seperti sudah menjadi milik pemain tempatan Safawi Rasid. Namun menentang Kuala Lumpur, sudah tentu kita mengharapkan persembahan yang lebih tajam dan tenang oleh beliau, demi memastikan jaringan terhasil.
Kuala Lumpur FA
Dicemari kontroversi melibatkan tunggakan gaji pemain sebelum musim bermula, Kuala Lumpur tewas 3-1 kepada Pahang di halaman sendiri pada minggu lalu.
Untuk rekod, Kuala Lumpur tampil sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan JDT pada musim lalu. Namun perlawanan tersebut diadakan di Kuala Lumpur pada ketika itu dan saingan pada musim ini tampil dengan saingan yang jauh berbeza.
Menariknya, Kuala Lumpur berkemungkinan bakal berhadapan bekas pemain, Syazwan Andik yang kini bersama JDT setelah pemain itu menamatkan ikatan dengan kelab lamanya berikutan isu tunggakan gaji.
Pemain tumpuan dan berita terkini pasukan
Bagi pasukan tuan rumah JDT, kelibat Aaron Niguez akan terus dijadikan sandaran untuk merobek benteng pertahanan lawan menuju perlawanan ini. Agak menarik untuk melihat sama ada seorang lagi pemain import, Diogo Luis Santo akan diturunkan – sekiranya prestasi Syafiq Ahmad dalam perlawanan lalu dijadikan ukuran.
Kelibat Syafiq yang mampu menjana beberapa peluang ketika menentang Perak dianggap sebagai perkara yang positif di kalangan penyokong JDT. Selain daripada itu, tahap kecederaan Natxo Inxa turut akan menjadi persoalan selepas dikeluarkan ketika dalam permainan akibat kecederaan ketika menentang Perak.
Namun JDT dianggap tidak mempunyai masalah untuk mengisi kekosongan Natxo kerana mempunyai pemain seperti Afiq Fazail yang turut boleh mengambil peranan di posisi tersebut.
Bagi Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mengesahkan bakal kehilangan khidmat Guilherme De Paula sehingga tiga perlawanan akibat kecederaan di kaki.
Ini bermakna Sylvano Comvalius akan menggalas tanggungjawab di bahagian serangan secara bersendirian.
Selain daripada De Paula, Achmad Jufriyanto belum lagi cergas sepenuhnya walaupun sudah kembali menjalani latihan. Kepulangan Hisyamuddin Shaari dari pergantungan bermakna pemain itu semakin pasti untuk digandingan dengan Irfan Zakaria di bahagian pertahanan.
Taktikal pasukan
Luciano Figueroa dijangka akan terus mengekalkan formasi 4-2-3-1 dalam perlawanan ini. Kehilangan Natxo mungkin akan menganggu sedikit tempo permainan, namun aspek serangan JDT masih tetap berbahaya dengan gandingan Gonzalo Cabrera- Aaron Niguez-Safawi Rasid yang bakal menjadi teraju utama serangan.
Yusri Che Lah juga akan dijangka mengekalkan formasi 4-4-2 yang digunapakai oleh Kuala Lumpur sebelum ini. Sistem ini membenarkan mereka bertahan secara kompak, sekiranya aspek disiplin boleh diterapkan untuk meneutralkan ancaman dari JDT.
Mampukah Yusri menemukan formula terbaik untuk melunturkan jentera serangan JDT pada malam ini?
Ramalan Semuanya BOLA
Sekiranya percaturan di atas kertas dilakukan, anda tidak boleh menolak kemungkinan pesta gol akan berlaku di Larkin. Namun jangan terlampau cepat untuk melakukan kesimpulan.
Lima pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan meyaksikan JDT menang empat daripada perlawanan tersebut – namun margin terbesar hanya dengan kelebihan dua gol.
Kemenangan 3-1 untuk JDT adalah ramalan yang realistik. Tetapi siapa tahu keajaiban yang Kuala Lumpur mampu jelmakan seperti ketika mereka tampil sebagai satu-satunya pasukan yang menumbangkan JDT dalam perlawanan liga pada musim lalu.
Ulasan
Catat Ulasan