Perlawanan ketiga unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 antara dua jagoan ini pastinya menarik perhatian ramai pihak. Tidak dinafikan, ini antara dua perlawanan tumpuan pada minggu ini disamping perlawanan antara dua pasukan yang masih cemerlang setakat ini, Pahang dan Melaka United.
Biarpun boleh dianggap lengkap dari senarai pemain yang dimiliki, Terengganu FC masih gagal menemui rentak kemenangan apabila hanya meraih 1 mata dalam dua aksi sementara Johor Darul Ta’zim(JDT) pula gah dengan enam mata maksimum.
Berikut adalah previu menjelang perlawanan tumpuan pada malam ini yang dijangkakan sengit antara Terengganu dan JDT.
Terengganu dan masalah prestasi
Anak didik Irfan Bakti dilihat masih tercari-cari rentak dalam dua perlawanan pertama MSL biarpun hanya membuat perubahan kecil dalam skuadnya musim lalu – ianya kesan yang tidak dijangka. Satu mata dari dua perlawanan, apa yang tidak kena Terengganu?
Sewajarnya, skuad ini tampil lebih kukuh dengan kehadiran pemain seperti Syamim Yahya dan pemain import, Sanjar Shaakhmedov. Begitupun, seperti cuaca di Pantai Timur dan seluruh negara ketika ini, prestasi Sang Penyu juga tampak masih tidak menentu.
Pasti ini bukan lawan yang mereka inginkan di saat moral pasukan masih di tahap yang rendah dan krisis keyakinan diri yang sedikit menjunam. Dua keputusan yang tidak memihak kepada mereka sudah pasti akan memberi kesan kepada para pemain.
Walaubagaimanapun, musim lalu mereka juga bermula suram dengan dua keputusan seri sebelum bangkit. Ini mungkin sedikit melegakan kerana Terengganu pasti dan perlu bangkit untuk mempamerkan kredibiliti sebagai pencabar kejuaraan kepada JDT.
Sumpahan awaydays pertama JDT
JDT akan melangkah keluar buat pertama kalinya dari Kubu Larkin musim ini. Pada musim 2018, Harimau Selatan juga mula keluar untuk awaydays pada perlawanan ketiga liga namun dikecewakan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Kuala Lumpur.
Itu merupakan kekalahan pertama pada musim tersebut dan ianya berlaku selepas JDT berjaya memungut mata maksimum dalam dua aksi sebelumnya. Ianya juga hampir sama dengan situasi pada musim 2017, JDT tumpas ketika awaydays pertama mereka.
Berdepan dengan pasukan yang belum meraih 3 mata pastinya membantu JDT dari segi kelebihan kekuatan mental. Mereka miliki skuad yang ampuh di setiap bahagian berbanding Terengganu yang jelas rapuh di setiap bahagian di dalam padang.
Adakah Luciano Figueroa akan berjaya membantu JDT mengatasi sumpahan awaydays pertama, dua musim berturut-turut mereka? Sentuhan penyerang, Gonzalo Cabrera yang telah meledak dua gol dalam dua aksi pastinya ditagih pengendali muda itu.
Kipre Tchetche dan Safawi Rasid
Menarik untuk disaksikan bagaimana Kipre Tchetche mahu bangkit malam ini. Sudah dua perlawanan kelibat pemain berasal daripada Ivory Coast ini tenggelam di dalam padang menjadikan tumpuan dan peluang akan sekali lagi diberikan kepadanya.
Gandingan Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov di tengah diharap akan bangkit membantu kapten mereka ini untuk menghasilkan gol. Harus diingat, dua jaringan Kipre Tchetche yang telah menghantar pulang JDT daripada saingan Piala Malaysia yang lalu.
Irfan Bakti dalam post match reaction tempohari bingung apabila kedua-dua pemain tersebut dilihat hanya banyak berlegar di bahagian bawah berbanding membantu Kipre Tchetche di jentera serangan – adakah benteng Terengganu yang bermasalah?
Di kem JDT pula, kelibat Gonzalo Cabrera menjadi tumpuan dengan dua jaringannya dalam dua aksi sebelum ini. Cabrera yang beroperasi di sayap serangan sentiasa berjaya melakukan gelecekan, mencipta peluang dan telah meledak dua gol.
Sementara itu, turun menentang negeri kelahirannya malam ini pasti memberikan semangat tambahan buat Safawi Rasid untuk membuktikan sesuatu kepada penyokong di sana bahawa dia adalah bakat asal Terengganu yang semakin berjaya di luar.
Namun, sesuatu yang perlu diperbaiki oleh Pemain Paling Bernilai, Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 ini adalah menajamkan sentuhan akhirnya yang kian merosot sejak menyertai kem skuad kebangsaan di Kejohanan Piala AFF 2018 yang lalu.
Statistik dan rekod
Terengganu (S-K):
- Seri 1-1 v PKNS FC
- Kalah 0-3 v Pahang
JDT (M-M):
- Menang 1-0 v Perak
- Menang 4-1 v Kuala Lumpur
Rekod di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu untuk musim 2018 menyaksikan tuan rumah menang 7 kali dan hanya tumbang 2 kali iaitu kepada Pahang (1-3) dan JDT (0-1).
Terengganu mula mengukuh dalam 6 perlawanan terakhir di laman sendiri. Di awal musim, aksi mereka agak terumbang ambing sementara JDT pula hanya bermula sumbang pada perlawanan pertama di gelanggang lawan sebelum bangkit bergaya.
Ratio gol dan bolos musim 2018 memihak kepada JDT apabila merekodkan purata 2.08 gol sebagai pelawat sementara Terengganu hanya mencatat purata 1.9 gol di laman sendiri. Sang Penyu bolos purata 1 gol setiap perlawanan dan JDT pula 0.66.
Satu lagi fakta menarik adalah dalam dua pertembungan musim lalu di MSL, Terengganu gagal meledak sebarang gol ketika menentang JDT apabila tumbang 0-1 dan 0-2 kepada mereka. Mampukah mereka merobek gawang Farizal Marlias malam ini?
Paling menggusarkan pastinya rekod Irfan Bakti sebagai ketua jurulatih ketika berdepan JDT yang jelas sekali tidak memihak kepadanya – tewas 8 daripada 10 pertembungan.
Taktikal pasukan
Irfan Bakti mengekalkan struktur formasi pasukannya iaitu 4-4-1-1 tetapi menukar dan membawa masuk 3 pemain lain di jentera tengah dan serangan untuk perlawanan kedua menentang Pahang.
Namun ianya memakan diri apabila Terengganu tewas dengan keputusan yang mengecewakan iaitu 0-3. Lee Tuck, Syamim Yahya dan Malik Mat Ariff gagal membantu pasukan dengan lebih baik.
Untuk menentang JDT, dijangkakan tiada perubahan ketara dan berkemungkinan Lee Tuck dan Sanjar Shaakhmedov akan diberikan arahan individu untuk lebih membantu jentera serangan kali ini.
Individual brilliance Lee Tuck dan kualiti hantaran Sanjar amat ditagih untuk aksi penting menentang JDT malam ini. Tanpa aksi berkesan kedua-dua pemain ini di jentera atas, Terengganu pasti akan bergelut sekali lagi sebagaimana ketika dilanyak Tok Gajah.
JDT hanya membuat satu perubahan pemain ketika berdepan Kuala Lumpur iaitu Afiq Fazail menggantikan Natxo Insa yang cedera dalam aksi pertama dan mengekalkan formasi 4-2-3-1.
Ia lebih kepada penggantian terus kerana peranan dan posisi Afiq dengan Natxo Insa adalah sama. Untuk posisi lain, JDT tidak perlu risau kerana setiap posisi masih memiliki pemain terbaik.
Figueroa dilihat hampir pasti tidak akan mengubah formasi dan juga senarai pemainnya selepas JDT merekodkan kemenangan selesa ke atas Kuala Lumpur. Cuma, sekiranya Diogo Luis Santo sudah bersedia, Syafiq Ahmad bakal diketepikan.
Ramalan Semuanya BOLA
Ia satu pertembungan menarik dan menjanjikan satu persaingan yang sengit antara Terengganu dan JDT biarpun ketika ini Sang Penyu sedang bergelut masalah prestasi yang tidak konsisten. Terengganu dijangka akan cuba bangkit di laman sendiri.
Realistiknya dan melihatkan rekod sebelum ini, dijangkakan Harimau Selatan mampu untuk menundukkan Sang Penyu di Kuala Terengganu tetapi mungkin dengan margin yang kecil.
Namun, jangan dinafikan kemampuan naib johan Piala Malaysia 2018 ini yang juga mampu mempamerkan perubahan aksi berbanding dua aksi mengecewakan sebelum ini – kerana apabila bertemu JDT, pasukan kecil pun akan berikan aksi lebih 100%.
Adakah JDT akan berjaya mengatasi sumpahan kalah dua musim berturut-turut dalam awaydays pertama mereka musim ini? Atau Kipre Tchetche dan rakan-rakannya yang akan memberikan kejutan buat penyandang kejuaraan liga ini?
Ulasan
Catat Ulasan