Perlawanan malam ini merupakan perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2019 bagi kedua-dua pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur. Malam ini menjanjikan perlawanan yang sengit kerana kedua-dua pasukan ingin memburu kemenangan di awal musim Liga Super Malaysia.
Bagi JDT, kemenangan malam ini boleh mengukuhkan kedudukan untuk merebut tempat yang lebih selesa tiga teratas carta liga. Walaupun masih terlalu awal namun di awal musim ini, setiap mata amat berharga. Kedudukan yang selesa akan memudahkan tugas di akhir liga nanti. Lebih-lebih lagi apabila bermain di tempat sendiri di Stadium Larkin.
Malam ini adalah perlawanan kedua berturut-turut JDT bermain di tempat sendiri sebelum bertandang ke Kuala Terengganu menentang Terengganu FC pada 15 Februari nanti. JDT seharusnya menggunakan kelebihan ini untuk mengutip 3 mata penuh.
JDT di kedudukan ke-4 dalam carta liga selepas minggu pertama di belakang Pahang, Kedah dan Melaka United yang mempunyai mata yang sama (3 mata).
Add caption |
Menentang Kuala Lumpur bukanlah satu perlawanan yang mudah, lebih-lebih lagi tunggakan gaji yang baru mereka terima baru-baru ini akan melonjakkan semangat untuk menentang JDT.
“Kami sudah lalui perlawanan yang sukar ketika menentang Perak dan kemenangan ke atas pasukan itu penting bagi meningkatkan keyakinan, saya gembira gol itu membantu JDT mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah.” Kata Gonzalo Cabrera.
Cabrera begitu yakin dan bersemangat setelah berjaya membawa kemenangan JDT dalam perlawanan menentang Perak sebelum ini apabila berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan malam itu dan seterusnya menjulang trofi Piala Sumbangsih 2019.
“Kami harus konsisten dan mengamal corak permainan efektif tanpa melakukan kesilapan mudah, semua tahu apabila pasukan lain menentang JDT, mereka akan beri persembahan lebih 100 peratus.
Namun, status dua pemain JDT masih menjadi tanda tanya apabila kedua-duanya mengalami kecederaan sebelum ini. Natxo Insa mengalami kecederaan ketika menentang Perak Sabtu lepas dan terpaksa dikeluarkan pada minit ke-35 perlawanan. Beliau tidak kelihatan dalam sesi latihan JDT baru-baru ini. Diharapkan kecederaan beliau tidak serious kerana beliau merupakan antara nadi pasukan JDT. Natxo telah digantikan dengan Afiq Fazail yang dapat menjalankan tugas dengan baik.
Bagi Diogo Luis Santo, kecederaan yang beliau alami ketika menjalani perlawanan ujian pra musim diharapkan sudah kembali pulih sepenuhnya. Beliau telah diberi peluang turun bermain sebagai pemain gantian ketika menentang Perak dan dimasukkan pada minit ke 79 menggantikan Syafiq Ahmad. Kita masih menunggu aksi hebat Diogo selaku penjaring terbanyak Liga Thai 1 musim 2018. Mungkin jika diturunkan menentang Kuala Lumpur, beliau akan dapat buktikan kehebatan beliau di hadapan penyokong sendiri di Larkin.
Bagi pasukan Kuala Lumpur pula, selepas tewas pada perlawanan pertama menentang Pahang Jumaat lepas, sudah tentu malam ini mereka agak tertekan kerana perlukan sangat mata pertama untuk bersaing dengan pasukan lain agar tidak terjerumus di tangga terbawah. Kuala Lumpur berada di tangga 2 terbawah tanpa mata bersama PJ City FC, Perak dan PKNP FC. Perlawanan ketiga mereka adalah bertemu Perak di laman sendiri pada 15 Februari ini. Antara pemain Kuala Lumpur yang perlu diawasi adalah Guilherme de Paula, penjaring ketiga terbanyak Liga Super musim lepas dengan 13 gol.
Pemain pertahanan JDT, Adam Nor Azlin dijangka sekali lagi akan membarisi pertahanan JDT bergandingan dengan Mauricio Nascimento setelah menampakkan peningkatan permainan dan keserasian mereka. Adam, Mauricio, Azrif dan Corbin Ong berkemungkinan besar akan diturunkan memperkukuhkan pertahanan JDT membantu Farizal Marlias.
Safawi Rasid yang terlepas menjaringkan gol melawan Perak menjadi tumpuan malam ini. Adakah beliau akan memulakan kempen jaringan gol malam ini ? Safawi merupakan penjaring terbanyak JDT dalam Liga Super musim lepas dengan jaringan 16 gol. Jumlah tersebut mengatasi jaringan Gonzalo Cabrera (14 gol).
Akhyar Rashid masih mencari ruang dalam kesebelasan utama JDT walaupuna beliau bukan menjadi pilihan JDT setakat ini. Beliau sekali lagi seperti dalam perlawanan dengan Perak, berkemungkinan akan dimasukkan sebagai pemain gantian dengan masa bermain lebih dari sebelum ini. Dua minit berada di atas padang sebelum ini belum menampakkan impak dan sumbangan beliau dalam pasukan.
Dalam perlawanan Liga Super musim lepas, Kuala Lumpur berjaya menewaskan JDT di KL namun tewas dengan JDT di Larkin.
Perlawanan malam ini hanya akan disiar secara langsung melalui iflix sahaja.
Ulasan
Catat Ulasan