Langkau ke kandungan utama

Piala Sumbangsih: Jangan cetus provokasi, kekecohan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais

JOHOR BAHRU 1 Feb. - Polis mengingatkan penyokong bola sepak supaya tidak melakukan sebarang provokasi, membawa barang terlarang atau mencetuskan kekecohan pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin di sini malam esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mereka perlu menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika yang positif serta semangat kesukanan yang tinggi sebelum semasa dan selepas perlawanan berlangsung.
"Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan-arahan yang diberikan petugas-petugas pasukan polis dari masa ke semasa agar keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap sebarang perlakuan dan perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Johor Darul Takzim (JDT) akan menentang The Bos Gaurus, pasukan bola sepak Perak untuk Piala Sumbangsih PADA malam esok bagi memulakan saingan Liga Malaysia musim ini.
Pada Oktober 2017 semasa JDT menentang Perak di Stadium Perak, berlaku kekecohan hingga mengakibatkan seorang anggota polis dan seorang penyokong JDT cedera selepas tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia.
Shahurinain memohon kerjasama semua pihak mematuhi sepenuhnya garis panduan dan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) terhadap kawalan keselamatan di stadium sepertimana ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, garis panduan yang sudah ditetapkan adalah seperti berikut:
1. Dilarang sama sekali memiliki, membawa atau membakar apa-apa bahan letupan sama ada di luar atau dalam kawasan stadium sebelum, semasa atau selepas perlawanan bola sepak berlangsung seperti suar, api berwarna, dinamit, flares, bunga api atau mercun.
2. Dilarang sama sekali kedua-dua belah penyokong menganjurkan apa-apa juga perarakan, perhimpunan atau seumpamanya sebelum atau selepas perlawanan samada di luar kawasan stadium atau dalam kawasan stadium.
3. Dilarang membawa senjata tajam, berbahaya atau barang-barang terlarang yang menjurus kepada kesalahan jenayah di luar atau dalam stadium yang boleh menimbulkan kekacauan dan kekecohan kepada orang awam.
4. Dilarang melakukan sebarang bentuk provokasi pengeseran, pertelingkahan, cakar-mengcakar dan seumpamanya yang boleh menimbulkan atau mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua belah penyokong pasukan.
5. Dilarang membawa sebarang peralatan yang boleh mendatangkan kecederaan seperti botol kaca, kayu, batang besi, mercun, tin minuman serta objek yang boleh dijadikan senjata dan mencetuskan pergaduhan dan sebagainya.
6. Dilarang meminum minuman keras atau membawa masuk minuman memabukkan di stadium sebelum atau selepas perlawanan.
7. Dilarang melakukan sebarang bentuk vandalisme seperti membakar kerusi penonton, menconteng, memanjat pagar, membuang sampah merata-rata dan sebagainya. - UTUSAN ONLINE

Ulasan