Piala Sumbangsih: Akhyar ikrar dapatkan rentak permainan konsisten

Piala Sumbangsih: Akhyar ikrar dapatkan rentak permainan konsisten 

Bintang muda sensasi negara, Akhyar Rashid, menganggap tiada 'tiket percuma' untuk menunjangi skuad utama Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mengakui perlu terus berusaha meningkatkan prestasinya ke tahap lebih baik musim ini.

Kemunculan Akhyar selaku pemain baru JDT paling dinantikan peminat dalam aksi Piala Sumbangsih malam tadi yang juga perlawanan pertama pasukan itu musim ini.

Membabitkan pertemuan menentang Perak di Stadium Larkin, pemain berusia 20 tahun itu hanya dimasukkan sebagai pemain gantian di penghujung perlawanan.

Meskipun tidak sempat memperagakan sepenuhnya aksi di atas padang, Akhyar tetap menghargai peluang yang diberikan untuk penampilan sulungnya bersama JDT.

"Saya mahu berjuang habis-habisan bersama JDT musim ini dan apa yang penting, saya perlu lebih berusaha untuk mengekalkan momentum permainan," katanya.

Akhyar jelas perlu bersaing sengit untuk membarisi skuad utama JDT musim ini memandangkan posisi pemain sayap dibarisi dua pemain tonggak, Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid.

"Syukur berpeluang untuk beraksi malam ini (tadi) tetapi kurang minit permainan.

"Apapun, tahniah kepada rakan dan kakitangan pasukan kerana menjuarai Piala Sumbangsih," tambahnya.

Ulasan