PFA mohon peluang kedua, Amizal mahu jumpa TMJ


PFA mohon peluang kedua, Amizal mahu jumpa TMJ


Meskipun penyertaan mereka dalam Liga Malaysia telah dibatalkan oleh Malaysian Football League (MFL) gara-gara kedudukan kewangan yang tidak kukuh dan terlalu banyak masalah berbangkit,  Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) nampaknya masih berharap agar mereka diberi peluang kedua.
Presiden PFA,  Datuk Amizal Shaifit Ahmad Rafie mendedahkan hajatnya untuk bertemu Pengerusi Malaysian MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi menjelaskan status sebenar pasukan Perlis.
Jelas Amizal, dia masih terkejut dengan keputusan MFL itu yang mana dianggapnya sebagai tidak adil,  dan berharap pertemuan dengan Tunku Mahkota Johor itu dapat memberikan sinar buat skuad Singa Utara bagi membuat kemunculan semula di Liga Premier musim ini.
Tambahnya, PFA telah menyerahkan permohonan rasmi kepada MFL semalam tetapi Amizal berpendapat pertemuan dengan Tunku Ismail adalah jalan lebih baik bagi memberikan gambaran sebenar yang berlaku serta perancangan sebenar Perlis kepada baginda.
“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan itu (penyertaan Perlis dibatalkan dari Liga Malaysia) kerana kita sebenarnya telah menyerahkan dokumen perancangan pasukan Perlis untuk Liga Premier musim ini kepada MFL.
“Perlis telah memberikan komitmen tinggi biarpun ketika kami berdepan dengan pelbagai kemelut yang berlaku. Kami tidak buat apa seperti Kuantan FA (tidak hadir pada perlawanan rasmi) yang turut dibatalkan penyertaannya dari Liga Malaysia tahun lalu.
“Saya telah menghantar rayuan kepada MFL tetapi dalam masa yang sama, saya mahu bertemu dengan Tunku Ismail untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku yang mana saya kekal optimis Perlis masih memiliki keupayaan untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya.
Terdahulu pada Rabu, MFL menerusi Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara bersetuju membatalkan penyertaan Perlis dalam Liga Malaysia 2019 berkuatkuasa serta merta.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti secara terperinci dokumen kewangan yang diserahkan oleh PFA pada 18 Februari lalu yang mana sumber pendapatan PFA termasuk daripada penajaan perancangan kewangan mereka tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.
Sebagai rekod,  Perlis dipilih beraksi di Liga Premier sebagai pengganti kepada MIFA (PJ City) berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong, masalah hutang dan perancangan kewangan.
PFA dan MFL juga telah membuat perjanjian bersama yang mana mereka diberikan tempoh 60 hari dari 28 Disember untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji bagi musim 2016 – 2018.
Begitupun, semua perancangan yang dicanang PFA tampak omong kosong apabila tiada seorang pun anggota skuad baik ianya dari Liga Premier, Piala Presiden,  Piala Belia, skuad B-17, mahupun pasukan futsal dibayar gaji yang berlanjutan lebih dua bulan,  sehingga menyebabkan seorang demi seorang meninggalkan pasukan,  sekaligus menyebabkan MFL terpaksa membuat keputusan menyingkirkan mereka.
Foto : Perlis Northern Lions

Ulasan