MELAKA: Bekas pemain pertahanan Johor dan Melaka, Azmil Azali menjangkakan pertemuan Melaka United (MU) berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok pasti memberikan saingan sengit dan menarik.
Skuad Hang Tuah yang hadir dengan imej baharu dilihat mampu mengejutkan JDT jika barisan pertahanan tuan tumah sedikit alpa dalam tempoh 90 minit pertarungan.
Baginya, rekod pertemuan yang memihak kepada Harimau Selatan termasuk pernah menang 7-0 di gelanggang sama 2017 bukan lagi satu kelebihan berikutan pelawat hadir dengan pasukan lebih garang.
Azmil berkata, perancang utama MU yang juga bekas pemain JDT, Safiq Rahim bakal memberi masalah kepada tuan rumah menerusi kemampuannya untuk menguasai barisan tengah.
"Namun saya masih yakin JDT mampu menewaskan MU pada aksi di laman sendiri tambahan menerusi sokongan padu peminat setia yang sudah sebati dengan corak dan perjalanan pasukan di gelanggang terbabit.
"Apapun, saya tetap mahu melihat persembahan menarik daripada kedua-dua pasukan menerusi serang balas pantas sekali gus menghiburkan penyokong kedua-dua pasukan," katanya.
Anak kelahiran Pulau Sebang, Melaka yang kini menetap di Johor Bahru itu bagaimanapun tidak menyatakan pasukan mana yang disokongnya walaupun dia lebih lama beraksi bersama Johor berbanding hanya semusim menyertai Melaka.
Namun kehadiran semula pemain Argentina, Leandro Velazquez bersama skuad terbabit satu pekembangan gembira bagi memperkasa barisan tengah JDT di pentas Liga Super malah saingan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Beliau berkata, ia pasti menarik apabila Velazquez akan bertembung dengan Safiq Rahim berikutan kedua-dua pemain itu pernah beraksi bersama dan membantu JDT menjulang kejuaraan Piala AFC pada musim 2015.
Ulasan
Catat Ulasan