PENYERANG JDT, Syafiq Ahmad (kiri) diasak bek kiri Perak, Nazirul Naim dalam aksi Piala Sumbangsih antara JDT dan Perak di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU 3 FEB. - Percaturan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menurunkan barisan pemain muda ketika menentang Perak dalam aksi pertama Liga Super bagi merebut Piala Sumbangsih, semalam, ternyata berjaya.
Cetusan idea pengurus Harimau Selatan, Lucciano Figueroa meletakkan Muhammad Safawi Rasid pada posisi serangan bergandingan dengan Gonzalo Cabrera membuatkan persembahan Perak kucar-kacir.
Sentuhan pemain baharu, Adam Nor Azlin dan Mauricio Dos Santos turut dipuji kerana kelincahan mereka menjaga kubu pertahanan dan berjaya menyekat The Bos Gaurus untuk mencipta gol.
Hasilnya, JDT menang 1-0 menerusi sepakan lambung hasil sentuhan Cabrera pada minit ke-40, sekali gus, merangkul Piala Sumbangsih buat kali keempat. Kemenangan ke atas skuad pelawat di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin semalam, adalah amaran awal kelab gergasi Liga Malaysia itu.
Mengulas aksi anak-anak buahnya, Figueroa melahirkan rasa puas hatinya dan memuji persembahan yang dipamerkan para pemain, namun, beberapa kesilapan yang dilakukan harus diperbaiki.
“Pemain memberikan aksi yang baik pada separuh masa pertama. Kami juga mencipta banyak peluang sehingga berjaya membolosi gawang lawan. Dalam babak kedua pula, bagi saya aksi kami juga tidak kurang hebatnya, namun, agak sedikit berbeza kerana pasukan Perak ketara sangat mahu menjaringkan gol.
“Kami tidak bermain bola sepak dengan begitu baik dalam separuh masa kedua, namun, Perak juga gagal melakukan percubaan tepat ke pintu gol. Kami hanya mahu mengekalkan tahap permainan kami, mengawal rentak, dan mendapatkan bola,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan, semalam.
Mengenai Safawi, Figueroa berkata, corak permainan pemain itu dalam perlawanan kali ini tidak begitu sempurna.
Jelasnya, penyokong tidak boleh terus mengatakan bahawa Safawi memang tidak boleh menjaringkan gol sedangkannya dia sudah mencuba dua hingga tiga peluang untuk berbuat demikian.
“Tidak mengapa, kerana inilah bola sepak. Dia tidak boleh menjaringkan kesemua peluang yang diperolehinya,” kata warga Argentina itu.
Ulasan
Catat Ulasan