Perak tenang tanpa Gilmar, Shahrel



Pasukan Perak menjalani latihan ringan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor Bahru, petang tadi. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Perak terpaksa turun tanpa kelibat pemain import Gilmar Da Silva Filho pada aksi Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.
Pengendali skuad The Bos Gaurus Mehmet Durakovic berkata, Filho terpaksa diketepikan daripada kesebelasan utama akibat penggantungan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kad merah pada final Piala Malaysia, musim lalu.
Perak juga belum pasti dapat menurunkan bekas penyerang PKNP FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi kerana masih dilanda kecederaan dan kemungkinan tidak akan disenaraikan.
"Apa jua yang kami hadapi tanpa Gilmar dan Shahrel, kami tetap akan beraksi dan memberi persembahan terbaik untuk menewaskan JDT dan kita tahu peluang menewaskan pasukan itu di kubu mereka sememangnya sukar,” kata Durakovic.
"Persiapan kami untuk memulakan kempen Liga Super berjalan lancar malah beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden yang dibawa masuk menunjukkan komitmen tinggi, saya tidak berdepan masalah jika mahu menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama menentang JDT.
"Kehadiran Zac Anderson di dalam pasukan memberi kesan positif pada barisan pertahanan yang tampak lebih mantap tatkala pemain itu menggunakan segala pengalaman yang ada, dia juga cepat menyesuaikan diri dengan pemain tempatan."
Walaupun tidak pernah menang di Larkin sejak musim 2013, jurulatih kelahiran Australia itu optimis peluang membuat kejutan tetap ada bagi mengulangi kejayaan merangkul trofi Sumbangsih yang kali terakhir dirangkul Perak pada tahun 2006.
"Mungkin kami mengulangi kejayaan 2006. Walaupun ia sudah lama tetapi kami akan cuba malah aura menjulang Piala Malaysia musim lalu bakal menjadi motivasi setiap pemain untuk turun menentang JDT dan cuba melakar kejutan serta membawa pulang tiga mata," katanya.

Ulasan