KUALA LUMPUR 19 Feb. - Hasrat Perak untuk beraksi pada kejohanan tertinggi Asia tidak kesampaian apabila mereka dibelasah 1-5 oleh Ulsan Hyundai dalam aksi play-off Liga Juara-Juara di Stadium Munsu, hari ini.
Kekalahan itu bermakna hanya Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi wakil tunggal negara yang akan membuat penampilan sulung mereka dalam Liga Juara-Juara Asia, musim ini.
Skuad Harimau Selatan itu layak secara automatik ke peringkat kumpulan selepas menjuarai Liga Super, musim lalu, dan mereka diletakkan dalam Kumpulan E bersama kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC, Kashima Antlers (Jepun) dan Shandong Luneng (China).
Dalam aksi tersebut, skuad kendalian Kim Do-hoon membuka tirai jaringan pada minit ke-23 berpunca daripada jaringan sendiri Amirul Azhan Aznan.
Pemain tengah Ulsan Hyundai yang dipinjam dari Manchester City, Mix Diskerud mengukuhkan kedudukan kelab dari Korea Selatan itu apabila meledak dua gol, masing-masing pada minit ke-56 dan minit ke-58.
Ulsan Hyundai yang merupakan pemenang Liga Juara-Juara Asia pada 2012 ternyata bukan tandingan Perak apabila tuan rumah menambah derita skuad kendalian Mehmet Durakovic itu menerusi jaringan Lee Dong-kyeong pada minit ke-70.
Penyerang import dari Brazil, Junior Negrao meledakkan gol kelima tuan rumah pada minit ke-87 dan gol sagu hati Perak hadir pada minit terakhir permainan menerusi percubaan Nazirul Naim Che Hashim.
Ulsan Hyundai mara ke peringkat kumpulan apabila mereka menyertai Kumpulan H bersama tiga lagi pasukan iaitu Sydney FC dari Australia, Kawasaki Frontale (Jepun) dan Shanghai SIPG (China). - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan