KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih skuad The Bos Gaurus, Raja Azlan Shah Raja So'ib menegaskan Perak tetap memiliki kekuatan yang tersendiri bagi mengecewakan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Sumbangsih di Stadium Larkin malam esok, sekali gus menamatkan penantian 13 tahun merangkul piala pembuka tirai itu.
“Dengan sikap yang bagus dan transisi yang baik ketika bertahan, saya lihat Perak memiliki kekuatan daripada segi keserasian pemain dalam sistem dan konsep yang diterapkan jurulatih Mehmet Durakovic,” kata Raja Azlan.
“Mereka juga memiliki pemain muda yang berbakat besar dan dijangka mampu untuk mencetus impak buat Perak bukan sahaja untuk aksi terbabit malah sepanjang musim ini.
“Apapun, JDT sememangnya sebuah pasukan yang baik namun saya yakin Durakovic ada perancangannya yang tersendiri bagi menyekat mereka.
“Apa yang penting, pemain tidak memberikan ruang kepada JDT di zon serangan dan terus melakukan asakan walaupun bola berada dalam kawasan lawan.”
Kali terakhir Perak merangkul piala berkenaan adalah pada tahun 2006 selepas menundukkan Selangor 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Aksi Sumbangsih 2019 menemukan juara Liga Super 2018, JDT yang merangkul gelaran liga buat lima musim berturut-turut dengan Perak yang memenangi Piala Malaysia 2018 selepas menundukkan Terengganu FC (TFC) 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.
Musim lalu, JDT menjulang trofi Sumbangsih 2018 menewaskan Kedah 2-1.
Ulasan
Catat Ulasan