JOHOR BAHRU: Pengendali Perak, Mehmet Durakovic mengakui tindakan barisan tengah dan pertahanan yang berada terlalu ke bawah dalam kawasan sendiri memberi ruang pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) menguasai perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Pengendali dari Australia itu berkata, apabila pemain The Bos Gaurus berada terlalu ke bawah, ia memudahkan tugas barisan serangan skuad kendalian Luciano Figueroa memberi tekanan dan berjaya menjaringkan gol.
"Kami tahu cara JDT bermain kerana mereka akan beri tekanan terutama dari posisi sayap kiri dan kanan selain bergerak di kawasan tengah. Sepatutnya pemain saya tidak terlalu ke bawah dan perlu sekat gerakan pemain lawan di bahagian tengah.
"Walaupun kami diasak namun berjaya menghalang pemain JDT mencipta jaringan sehinggalah gol tunggal perlawanan pada lima minit terakhir babak pertama, saya akui agak terkilan kerana pemain sebenarnya mampu menghalang jaringan itu sekiranya memberi sepenuh tumpuan.
"Apa pun saya enggan menyalahkan pemain dan kami berdepan dengan pasukan yang serba lengkap malah mampu beri tentangan menerusi gerakan berbahaya, saya akui ketiadaan Gilmar (Da Silva Filho) menjejaskan barisan serangan," katanya.
Durakovic berkata, walaupun ketinggalan 0-1, pemain Perak tetap bersungguh-sungguh memburu gol penyamaan tetapi ketajaman barisan serangan tampak kurang berkesan dan gagal membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Beliau berkata, peluang terbaik ketika aksi berbaki lima minit dengan peluang terbaik menjaringkan gol penyamaan namun pemainnya gagal menanduk bola walaupun pintu gol sudah terbuka luas.
"Kami harus lupakan kekalahan pertama dalam saingan Liga Super dan kembali fokus menyiapkan diri untuk berdepan Kedah di laman sendiri, Ahad ini dan saya pasti akan menurunkan Gilmar dan berharap Shahrel Fikri (Fauzi) pulih daripada kecederaan," kata Durakovic.
Ulasan
Catat Ulasan