Pahang, JDT, Melaka pamer belang awal musim

Pahang, JDT, Melaka pamer belang awal musim

Saingan bola sepak Liga Malaysia 2019 membuka tirainya 1 Februari lalu sambil dibayangi isu tunggakan gaji segelintir pasukan yang bertanding. Namun, saya bukan ingin membincangkan dengan panjang lebar isu tersebut, sebaliknya ingin mengalihkan tumpuan kepada saingan liga yang menyaksikan penguasaan dua pasukan gergasi bola sepak tanah air, iaitu juara Liga Super lima kali, JDT, dan juara edisi sulung, Pahang.

Dua pasukan ini di samping Melaka United mengorak langkah awal apabila mencatat dua kemenangan berturut-turut dalam dua perlawanan awal musim dengan Tok Gajah paling cemerlang dengan enam jaringan, diikuti JDT lima gol dan Melaka United tiga gol.

Kembalinya orang besi yang pernah mewarnai saingan liga pada musim 2014, iaitu Dickson Nwakaeme, di jentera serangan Pahang tampak memberikan nafas baru kepada juara Piala FA musim lalu itu apabila sudah mencetak tiga gol sambil dibayangi Gonzalo Cabrera dari JDT dengan dua gol.

Di atas kertas, dua pasukan ini wajar dilabel pasukan pilihan untuk bergelar juara sementara pasukan gergasi lain seperti Selangor, Perak, Terengganu dan Kedah bolehlah dianggap sebagai pengacau jika mampu mengekalkan prestasi sehingga penghujung musim.

Di kem Melaka United, skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan, itu bermula dengan agak baik dengan dua kemenangan untuk meraih enam mata penuh. 

Mereka juga tidak wajar diketepikan kerana pasukan ini dibarisi ramai pemain senior, antaranya Shukor Adan, Safiq Rahim, Khairul Fahmi Che Mat dan Liridon Krasniqi yang mampu mengecewakan mana-mana pasukan pada hari terbaik mereka.

Selangor pula, yang sedang membina reputasi selaku kuasa besar bola sepak tempatan, bermula sedikit goyah apabila sekadar seri ketika pertemuan dengan Felda United dan PJ City minggu lalu.

Skuad kendalian B. Sathianathan itu bukan sekadar bergelut, malah memerlukan gol minit akhir perlawanan untuk mencuri satu mata dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Sabtu lalu.

Saya rasakan Sathia pasti tertekan andai Selangor gagal mencari tiga mata penuh dalam perlawanan seterusnya menentang PKNS di Shah Alam, Ahad ini.

Perak pula, yang menamatkan musim lalu dengan kejuaraan Piala Malaysia, dipalit isu tunggakan bonus, menyebabkan aksi kurang bermaya dipamerkan The Bos Gaurus selepas dua perlawanan.

Tiada percubaan tepat ketika berdepan JDT dan aksi hambar ketika beraksi di Ipoh berdepan Kedah merupakan satu peringatan buat Mehmet Durakovic supaya memperkemaskan strategi andai ingin menjadi pencabar utama musim ini.

Apapun, saya jangkakan aksi liga akan terus berlangsung sengit minggu ini dengan tumpuan terus terarah kepada Pahang, yang akan berkunjung ke Melaka, Sabtu ini, sementara JDT terbang ke Kuala Terengganu untuk perlawanan ketiga. 

Apakah Tok Gajah dan Harimau Selatan mampu mengekalkan momentum kemenangan atau Melaka United dan Terengganu mampu memperagakan magis di laman sendiri?

Kita tunggu dan lihat apa keputusannya nanti. 

Ulasan