Kecoh di media sosial apabila JDT mengumumkan pengguguran Aaron Niguez dari senarai pemain dan menggantikan beliau dengan bekas hero Piala AFC 2015, Leandro Velazquez.
Netizen mula mempertikaikan polisi perpindahan JDT yang jelas mengatakan tidak akan mengambil kembali pemain yang pernah berkhidmat. Kehadiran semula Leandro menimbulkan tanda tanya kepada polisi tersebut.
Tetapi dalam bola sepak semua perkara boleh berubah kecuali kelab itu sendiri. Sejak penubuhan JDT pada tahun 2013, sudah 26 pemain luar negara menabur bakti kepada kelab.
Ada yang menjadi lagenda, ada yang menipu, ada yang tidak menepati piawaian kelab, ada yang berperangai diva dan ada juga yang cedera. Ini adalah asam garam dalam pembelian pemain.
Tetapi JDT bernasib baik kerana mempunyai kantong kewangan yang besar dan pasukan guaman yang bijak dalam merencana kontrak pemain agar nilai pampasan yang perlu dibayar tidak terlalu keterlaluan.
Bermula dari pemilihan pemain ‘marquee’ seperti Daniel Guiza, Luciano Figueroa dan Pablo Aimar untuk menaikkan nilai kelab di mata pelabur, kini JDT melihat beberapa nama pemain luar negara silih berganti membantu pasukan memperoleh kejuaraan.
Pihak pengurusan sememangnya mendengar keluhan penyokong dan sebagai bukti ada pemain luar negara yang ditukar seawal perlawanan kedua seperti yang terjadi kepada Jorge Santos Silva dan Harry Novillo.
Ada pemain luar negara yang menyembunyikan kecederaan lama yang pernah dialami dan dengan bantuan alatan sains sukan yang canggih di pusat latihan JDT, kecederaan ini dapat dikesan dan pertukaran pemain perlu dilakukan segera agar tidak memudaratkan pasukan.
Kepada penyokong JDT, kita harus percaya apa yang telah dilakukan oleh pengurusan. Walau kerap sekalipun pemain luar negara ditukar, namun piala tetap kekal di JDT. Oleh itu semua benda yang berlaku pasti ada sebabnya.
Ingatlah tiada siapa yang lebih besar dari kelab. Apa yang ditakuti adalah TMJ juga bersedia berundur jika penyokong rasa baginda sudah tidak layak memimpin kelab ini.
“Pemain datang dan pergi, jurulatih bersilih ganti tetapi kelab Johor Darul Ta’zim ini akan kekal menjadi kebanggaan Bangsa Johor dan juga Malaysia”
Luaskan Kuasamu Johor.
Ulasan
Catat Ulasan