JDT yang menewaskan Perak 1-0 pada minggu lalu pasti mahu meneruskan rentak kemenangan pada minggu kedua Liga Super di hadapan penyokong sendiri. Kuala Lumpur yang tewas 3-1 kepada juara Piala FA, Pahang pada minggu lalu pula mahu kunjungan mereka ke Larkin tidak menambah kepada permulaan buruk mereka pada musim ini.
Luciano Figueroa seperti kebiasaan mengandalkan formasi 4-2-3-1 yang sinonim dengan juara Liga Super selama lima musim berturut-turut itu. Yusri Che Lah yang menurunkan kesebelasan utama tanpa penyerang utama, Guilherme De Paula di dalam sistem 4-4-2, harus tidak dipandang ringan dengan kehadiran seorang lagi penyerang import, Sylvano Comvalius.
Separuh masa pertama
Ancaman awal dari pasukan JDT tiba dari gerakan set pieces melalui sepakan percuma Aaron Niguez. Namun sepakan pemain dari Sepanyol itu pada minit ke-2 perlawanan berjaya dikeluarkan oleh barisan pertahanan Kuala Lumpur, tatkala Sharbinee diasak.
Larian oleh Safawi ke dalam kotak penalti pada minit ke-9 mencemaskan seketika pertahanan Kuala Lumpur, namun tiada pemain JDT yang bersedia menyambar hantaran lintang pemain tersebut.
Safawi Rasid berpeluang meletakkan JDT di hadapan pada minit ke-18, namun sepakan gunting beliau di hadapan pintu gol terbuka tidak menjadi, selepas cuba menyambar hantaran cantik Gonzalo Cabrera.
Peluang terbuka untuk Kuala Lumpur akhirnya tiba pada minit ke-30 perlawanan, selepas hantaran satu dua diantara bahagian tengah Kuala Lumpur berjaya mengelirukan Corbin Ong. Namun percubaan oleh Comvalius selepas itu tinggi dan tidak menepati sasaran.
Syafiq Ahmad pula merembat liar peluang yang tiba-tiba terhidang selepas beberapa pemain pertahanan Kuala Lumpur gagal membaca kemas hantaran ke dalam oleh Corbin pada minit ke-36 perlawanan.
Tatkala babak pertama perlawanan kelihatan seperti berkesudahan tanpa jaringan, terjahan liar Zaiful Hakim terhadap Safawi di dalam kotak penalti di pengakhiran babak pertama tidak memberi pengadil pilihan, selain daripada memberikan sepakan penalti.
Zaiful turut dilayangkan kad kuning, sebelum Gonzalo Cabrera tenang menewaskan Sharbinee untuk JDT mendahului 1-0.
Separuh masa kedua
Babak kedua bermula menyaksikan JDT terus menguasai perlawanan dengan mengasak bahagian pertahanan Kuala Lumpur. Safawi sekali lagi dihidangkan dengan peluang untuk melebarkan pendahuluan JDT, namun menyepak tinggi hantaran Cabrera pada minit ke-48 perlawanan.
Syafiq Ahmad akhirnya membuktikan mengapa dirinya diberikan kepercayaan oleh Figueroa apabila menyambar masuk hantaran Corbin untuk JDT selesa mendahului 2-0 pada minit ke-52 perlawanan.
JDT terus melebarkan kedudukan apabila Diogo Luis Santo melebarkan kedudukan setelah pemain itu menolak masuk sepakan pejuru yang diambil oleh Safawi pada minit ke-59 perlawanan.
Minit ke-76 menyaksikan Kuala Lumpur merapatkan jurang jaringan kepada 3-1 hasil rembatan cantik Comvalius daripada luar kotak penalti, menewaskan Farizal Marlias.
Azrif Nasrulhaq kemudian menambah jaringan peribadi kedua beliau pada malam ini dengan satu rembatan dari dalam kotak penalti selepas berjaya meloloskan diri dari hadangan pemain Kuala Lumpur untuk kedudukan 4-1 di minit akhir permainan.
Kedudukan kekal 4-1 sehingga ke wisel penamat, dan JDT mengumpul maksimum enam mata dari dua perlawanan setakat ini.
Kesebelasan utama:
Kuala Lumpur: Sharbinee, Hafiz Johar, Irfan Zakaria, Ryutaro, Zaiful, Ashri Chuchu, Zhafri Yahya, Comvalius, Indra Putra (C), Hisyamudin Sha’ari, Paulo Josue.
JDT: Farizal Marlias, Adam Nor Azlin, Afiq Fazail, Safawi Rasid, Gonzalo Cabrera (Syamer Kutty Abba) , Hariss Harun (C), Aaron Niguez (Diogo Santo), Azrif Nasrulhaq, Corbin Ong, Syafiq Ahmad (Akhyar Rashid), Mauricio
Ulasan
Catat Ulasan