Langkau ke kandungan utama

Momentum Harimau Selatan terus gah

SAFAWI meraikan jaringan kedua JDT ketika menewaskan Melaka United

SAFAWI meraikan jaringan kedua JDT ketika menewaskan Melaka United 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru kelmarin.
PENYANDANG juara Liga Super lima kali, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah apabila berjaya meraih tiga mata penuh ketika menentang Melaka United malam kelmarin.
Pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunor, Larkin itu, skuad Harimau Selatan menang 2-1 ke atas skuad Sang Kancil menerusi ja­ringan Gonzalo Gabriel pada minit ke-34 dan Muhammad Safawi Rasid (m-42).
Sementara itu, gol sagu hati pasukan pelawat diperoleh melalui pemain kebangsaan Filipina, Pa­trick Reichelt pada minit ke-73.
Pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa nyata berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya, namun momentum dan rentak permainan dilihat sedikit perlahan.
“Pada separuh masa pertama, kita bermain dengan baik sehingga mencipta dua gol sekali gus mengutip tiga mata penuh. Kami gembira dengan keputusan ini.
“Pada babak kedua pula, tempo dan momentum persembahan kita agak perlahan sehingga pasukan lawan berjaya membolosi gawang dengan satu gol.
“Kita akan lihat balik dan perbaiki kelemahan untuk perlawanan seterusnya menentang Selangor pada minggu depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.
Figueroa berkata, bagi sesi latihan menjelang aksi menentang Selangor minggu depan, pasukannya akan mengkaji dan memperbaiki kesilapan agar mencapai tahap yang diinginkan.
Harimau Selatan kini menghuni kedudukan ke­dua Liga Super de­ngan mengumpul 10 mata hasil empat perlawanan manakala Kedah yang turut berkongsi 10 mata meng­ungguli takhta ekoran perbezaan jaringan. Ia tidak termasuk aksi Pahang dan Selangor yang berlangsung malam tadi.

Ulasan