Langkau ke kandungan utama

Misi sukar Perak, tetapi bukan mustahil

Hariss (kiri) dan Shahrul bergambar bersama Piala Sultan Ahmad

Hariss (kiri) dan Shahrul bergambar bersama Piala Sultan Ahmad Shah menjelang aksi perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.

JOHOR BAHRU 1 Feb. - Kapten Perak, Shahrul Saad mengakui pasukannya berdepan misi sukar untuk aksi pertama Liga Super bertemu pasukan pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Perak, juara Piala Malaysia 2018 dan JDT juara Liga Super lima kali berturut-turut bakal berentap pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.
Atas kertas, JDT muncul sebagai pasukan pilihan berdasarkan rekod hebat ketika bermain di laman sendiri tetapi Shahrul tetap teruja untuk membantu Perak meraih trofi itu buat kali pertama sejak 2006.
“Sudah pasti ia menjadi satu perlawanan sukar buat kami yang mana kami bertemu juara Liga Super musim lalu.
“Namun ia juga menjadi satu perlawanan yang baik untuk Perak bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pasukan kami sendiri pada musim ini.
“Mereka memiliki pemain tempatan dan import berkualiti tinggi seperti penyerang yang dibawa masuk dari Liga Thailand, Diogo Luis Santos tetapi ia tidak menjejaskan semangat kami untuk memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya dalam sidang media pra perlawanan itu di sini, hari ini.
Sementara itu, kapten JDT, Hariss Harun memberikan amaran kepada rakan-rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah terhadap keupayaan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic.
Ini kerana Hariss tidak mahu mengulangi episod duka Harimau Selatan yang tewas di tangan Kedah pada perlawanan sumbangsih 2017 menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 selepas terikat 1-1 sepanjang 90 minit.
“Kami sudah bersedia dan mahu membuka tirai Liga Malaysia dengan satu kejayaan.
“Bagaimanapun kami tidak mahu memandang rendah kepada Perak kerana mereka juga antara salah satu pasukan pencabar apatah lagi memenangi Piala Malaysia 2018.
“Jadi ia bukan satu perlawanan yang mudah seperti yang dijangka oleh mana-mana pihak tetapi seperti saya katakan tadi, kami sudah bersedia dan mahu fokus kepada pasukan sendiri kerana kekuatan JDT adalah kerana kami bermain sebagai satu pasukan,” kata pemain kelahiran Singapura itu. - UTUSAN ONLINE

Ulasan