SHARUL SAAD (dua kanan) dan Harris Harun (dua kiri) memegang Piala Sultan Ahmad Shah bersama jurulatih masing-masing, Luciano Figueroa (kiri) serta Mehmet Durakovic di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 1 Feb. – Juara Piala Malaysia musim lalu, Perak yakin untuk mengulangi kejayaan merangkul Piala Sumbangsih buat kali empat apabila turun menentang juara bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) malam esok di sini.
Meskipun mengakui skuad tuan rumah adalah satu pasukan bukan calang-calang namun The Bos Gaurus yakin mampu mencipta kejutan.
Ketua jurulatih Bos Gaurus, Mehmet Durakovic berkata, meskipun tugas itu bukan mudah untuk menundukkan juara Liga Super lima kali itu, pasukannya percaya mampu mengatasi segala kemungkinan.
“Kami yakin mampu beraksi dengan baik dan sudah pastinya kita mahu julang Piala Sumbangsih.
“Kami sudah sedia mental dan fizikal untuk perlawanan malam esok, kita mesti dapatkan tiga mata penuh,” katanya dalam sidang akhbar sebelum perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Hotel Thistle di sini hari ini.
Mehmet mengakui kekuatan Harimau Selatan apabila bermain di padang lebih-lebih lagi di laman sendiri namun yakin pasukannya yang dibarisi ramai pemain muda berbakat bakal cipta kejutan.
“Musim lalu kita bermain dengan bersungguh-sungguh sehingga kita memenangi Piala Malaysia dan semangat kejayaan inilah kita akan gunakan untuk memulakan saingan musim ini.
“Kita ada masa 90 minit, segala kemungkinan akan berlaku dan yang pastinya kita akan memastikan kemenangan buat pasukan kita,” katanya.
Perak akan turun menentang JDT malam esok bagi memulakan saingan Liga Malaysia musim ini di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin.
Sementara itu, kapten Perak, Shahrul Saad menyifatkan perlawanan pertama pasukannya musim ini satu perlawanan yang agak sukar.
Katanya, JDT mempunyai pemain-pemain yang kuat di setiap posisi dan sudah tentunya akan memberi sedikit kesukaran pasukan Perak untuk membenam tuan rumah.
“Namun ini medan terbaik untuk kita lihat kemampuan pasukan kita, kita dapat lihat di mana kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan