Mauricio kembali perkasa benteng JDT


MAURICIO Nascimento akan kembali memperkuatkan benteng Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila bertandang ke Stadium Shah Alam berdepan Selangor pada aksi Liga Super, malam esok.
Hanya Natxo Insa yang belum pasti diturunkan dalam kesebelasan utama tatkala baru sahaja menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan selepas tidak beraksi dalam dua perlawanan lalu akibat kecederaan.
Pengurus dan juga ketua jurulatih JDT, Luciano Figueroa berkata, Natxo Insa dan Nascimento yang tidak diturunkan pada aksi menentang Melaka United, Sabtu lalu sudah menjalani latihan dan akan berada dalam kesebelasan utama.
"Kecederaan yang dialami Natxo agak lama dan kami berharap dia dapat beraksi menentang Selangor nanti, manakala Mauricio tidak serius kecederaannya cuma kami tidak mahu ambil risiko untuk dia beraksi menentang Melaka tempoh hari.
"Kami tahu semua pasukan yang menentang JDT akan beraksi melebihi 100 peratus dan kami juga perlu tingkatkan rentak permainan supaya tidak terikut-ikut dengan cara pasukan lawan beraksi malah saya percaya pemain tampak mahu beri persembahan terbaik.
Mengenai Leandro (Velazquez) tampak mula serasi dengan cara rakan sepasukan bermain selepas persiapannya ketika menentang Melaka agak terbatas kerana baru sehari menjalani latihan dan kini saya lihat dia sudah bersedia," katanya.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan tampak berdepan jadual yang padat sepanjang aksi bulan Mac ini bukan sahaja perlu menempuh aksi liga malah harus berdepan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila akan berangkat ke Jepun sebaik aksi menentang Selangor.
Juara liga lima musim berturut-turut akan menentang juara bertahan ACL, Kashima Antlers dari Jepun di Stadium Kashima, 5 Mac ini dan kemudiannya menerima kunjungan kelab dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, 12 Mac ini.

Ulasan