Mana ada jual perlawanan


SEKALI pandang ia seperti disengajakan namun gol kedua Johor Darul Ta’zim II (JDTII) ketika menentang Perlis malam tadi satu kesilapan biasa yang dilakukan pemain pertahanan sekali gus menolak ada unsur jual perlawanan atau diboikot.
Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, Singa Utara beraksi cemerlang pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang itu namun kesilapan benteng pertahanan pada minit terakhir memberi kelebihan kepada tuan rumah memungut tiga mata.
Beliau berkata, gol kedua jaringan Nicolas Fernandez pada minit ke-90 itu disebabkan kesilapan dan kealpaan benteng pertahanan yang tidak mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dengan bertindak memberikan kepada penjaga gol sebelum disambar penyerang Argentina itu.
“Gol kedua JDTll itu bukan disebabkan pemain boikot atau jual perlawanan cuma kesilapan biasa yang sering dilakukan pemain.
“Walaupun jaringan itu meleburkan impian Singa Utara untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata namun kami optimis apabila pemain beraksi dengan baik cuma nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.
JDTIl mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menundukkan Perlis 2-1 pada aksi Liga Perdana, malam tadi.
Namun, gol kedua JDTll menimbulkan persoalan apabila pertahanan Singa Utara melakukan kesilapan mudah pada minit akhir sekali gus menimbulkan spekulasi pemain Perlis hilang semangat gara-gara tidak menerima gaji.

Ulasan