PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara terbuka mendedahkan masalah dihadapi pasukan itu sepanjang empat aksi lalu yang tampak kurang memberangsangkan berpunca daripada dirinya.
Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail memohon maaf kepada pihak kejurulatihan dan pemain skuad Harimau Selatan tatkala setiap tahun memberi tekanan kepada mereka untuk menyerlah pada saingan Liga Malaysia (Liga M).
"Masalah terbesar dalam JDT adalah, saya! "Setiap tahun saya meletakkan banyak tekanan kepada pemain dan jurulatih. Kesalahan saya kerana tidak menyedari dan terlupa yang anda hanyalah manusia.
"Manusia tidak pernah sempurna. Kami mempunyai hari yang tidak bagus malah kami mempunyai kelemahan dan kadang-kadang terlalu mengikut emosi. Kami bukanlah robot. Kepada pemain dan staf saya. Maafkan saya," kata Tunku Ismail dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun bebanan itu tidak seharusnya terletak kepada Tunku Ismail sepenuhnya seandainya prestasi JDT yang dibimbing Luciano Figueroa tampak tidak konsisten sebaliknya pemain juga harus berdiri teguh di belakang TMJ yang memerah segala keringat melakukan transformasi sejak 2013.
Untuk aksi menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Jumaat ini, sudah tiba masanya setiap pemain JDT memberi lebih fokus dan tidak lagi beraksi di bawah keupayaan sebenar dengan persembahan konsisten untuk meneruskan rentak kemenangan.
Ulasan
Catat Ulasan