Berkunjung ke laman lawan dengan sejarah kalah dua musim berturut-turut di awaydays pertama, Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir melalui nasib yang sama pada perlawanan malam tadi.
JDT telah dipaksa bangkit memperbaiki permainan selepas ketinggalan seawal minit ke-7 babak pertama apabila tuan rumah berjaya meledak gol menerusi penyerang, Khairul Izuan Rosli.
Menukar beberapa pemain dalam kesebelasan utama jelas telah memberi impak kepada rentak permulaan JDT apabila Terengganu FC berjaya memberi tekanan sejak awal permainan lagi.
Antara pemain yang pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama Harimau Selatan pada malam ini adalah Aidil Zafuan, Syamer Kutty Abba dan penyerang baharu, Diogo Luis Santo.
Kedua-dua pasukan akhirnya terpaksa berpuas hati berkongsi 1 mata apabila terikat dengan keputusan seri 2-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Puas hati
Pengendali JDT, Luciano Figueroa yang ditemui media selepas perlawanan berakhir memilih untuk memuji aksi permainan baik yang telah dipamerkan oleh Sang Penyu pada malam ini.
“Ianya sukar apabila berdepan dengan pasukan seperti Terengganu yang banyak memberikan tekanan dan mereka tidak memberi ruang untuk kita bermain dengan baik,” ujarnya.
“Kita tidak bermain dengan baik. Itu yang sebetulnya. Kita perlu memperbaiki apa yang kita lakukan pada hari ini dan bekerja keras sebab saya rasa kita tidak bermain dengan baik,” tambahnya lagi.
Pengendali yang mesra disapa dengan panggilan Lucho itu turut menggariskan yang pasukannya memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol dan perlu memanfaatkan semuanya selepas ini.
Apabila ditanyakan apa yang ingin dilihatnya daripada pemainnya selepas ketinggalan 1 gol, Lucho yang pernah beraksi bersama JDT sebelum bersara itu telah ketengahkan 3 perkara.
“Lebih berkarakter, lebih pengawalan bola dan selesa (bergerak) dengan bola sepanjang kita bermain,” jawabnya ringkas.
“Sekarang kita perlu memikirkan mengenai perlawanan seterusnya. Kita perlu lebih compact, kuat, mempamerkan watak sebenar dan juga memenangi perlawanan selepas ini,” jelasnya lagi.
Pengadil perlawanan
Ketika ditanya di sidang media mengenai prestasi pengadil perlawanan, pengurus pasukan itu enggan memberi ulasan mengenai prestasi pengadil pada malam tersebut.
“Pada saya dua penalti itu sewajarnya adalah penalti. Tiada siapa peduli jika keputusan tidak berpihak kepada kami. Namun semua akan memperkatakannya jika ia tidak memihak kepada mereka.
“Perkara ini sudah lama berlaku sejak saya tiba di bola sepak Malaysia pada 2014,” ujar beliau.
Beliau juga berkata masalah prestasi pengadil adalah salah satu aspek yang perlu diteliti dan diperbetulkan di Liga Malaysia.
JDT kini di puncak liga dengan 7 mata dan dijangka bakal berubah selepas 3 lagi perlawanan akan berlangsung untuk malam ini termasuk perlawanan tumpuan, Melaka United bertemu Pahang.
Kredit foto: JST
Ulasan
Catat Ulasan