KUALA TERENGGANU - Kebangkitan mengagumkan pemain Terengganu Football Club I (TFC I) pada minit-minit terakhir perlawanan sehingga berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat Johor Darul Ta-zim (JDT) 2-2 pada aksi ketiga Liga Super semalam mendapat pujian pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim.
Beliau berkata, anak buahnya telah mempamerkan mentaliti kuat untuk terus menekan JDT yang juara bertahan Liga Super biar pun ketinggalan 1-2 sehingga minit ke-89 dan dihimpit pelbagai keputusan kontroversi pengadil, Muhammad Nazmi Nasaruddin.
"Walaupun ketinggalan, pemain-pemain saya masih bersemangat untuk mencari gol penyamaan. Saya tetap berpuas hati dengan persembahan anak buah saya biar pun sekadar seri.
"Kita juga hampir menang namun jaringan (Nasrullah Haniff Johan) pada masa kecederaan dibatalkan dan ia memang offside. Selain pada itu, saya malas hendak komen kerana lebih 10,000 penyokong di stadium telah menyaksikannya sendiri," katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Irfan Bakti berkata, beliau juga berterima kasih atas sokongan padu penyokong tegar TFC I yang secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi semangat anak buahnya untuk mengasak JDT sepanjang perlawanan. - K! ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan