LAMAN RASMI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM PENCETUS REVOLUSI MEDIA SOSIAL BOLA SEPAK MALAYSIA


LAMAN RASMI KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM PENCETUS REVOLUSI MEDIA SOSIAL BOLA SEPAK MALAYSIA
Media sosial adalah medium komunikasi berkesan dalam era kebangkitan revolusi bola sepak tanah air. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) amat menitikberatkan keperkasaan media sosial supaya menjadi platform utama interaksi maya tanpa sempadan bersama penyokong mahupun pengkritik tegar Harimau Selatan.
Pada awal revolusi media sosial JDT, kewujudannya sering dipersenda oleh kebanyakan pemerhati bola sepak Malaysia namun pada masa kini fenomena mengubah wajah kovensional media sosial tersebut menjadi perkara wajib.
Laman facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers kini menjadi ikon rujukan untuk diduplikasi secara diam.
1. PENYAMPAIAN INFORMASI
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor sedar bahawa penyampaian informasi pantas adalah melalui media sosial. Dengan itu, DYAM Tunku Mahkota Johor telah memberi perhatian serius terhadap cara dan bentuk media sosial JDT berfungsi. Segala informatif berkaitan kelab akan diberikan terus melalui laman rasmi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Cara penyampaian, kandungan dan kemudahan dwibahasa dilihat menjadi ikutan kebanyakan pasukan dan kelab Liga Malaysia.
2. SENTUHAN GRAFIK
Sentuhan grafik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) turut merupakan perkara yang dinanti oleh penyokong Harimau Selatan. Persembahan visual yang begitu menarik amat berkesan menaikkan semangat, memberi motivasi dan malahan memberi maklumat secara mudah melalui infografik. Sentuhan grafik laman rasmi JDT juga dilihat menjadi inspirasi kepada pasukan lain untuk mempertingkatkan minat penyokong mereka.
3. MONTAJ DAN RAKAMAN VIDEO
JDT juga memberi kelainan pada halaman rasmi apabila sering membuat montaj dan rakaman video ke atas pasukan Merah Biru. Suasana sesi latihan, rakaman aksi perlawanan, ucapan-ucapan khas malahan rakaman yang memberi motivasi serta semangat ketika menang ataupun tewas menjadi tatapan para penyokong Harimau Selatan.
“Pembenci tidak benar-benar membenci, mereka hanya membenci diri sendiri, kerana kita mencerminkan apa yang mereka mahu.” - DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Akhir kata, eksistensi Harimau Selatan membuka mata kebanyakan organisasi bola sepak tempatan terhadap pentingnya untuk segera keluar dari kepompong pemikiran kovensional. Ia bukan sahaja berkaitan fasiliti, infrastruktur dan transformasi organisasi tetapi juga cara penyampaian informasi serta interaksi bersama penyokong.
Tidak boleh disangkal, DYAM Tunku Mahkota Johor berjaya menjadikan Media Sosial JDT sebagai jam loceng pencetus revolusi media sosial tanah air.
Sumber artikel: Media JST

Ulasan