Langkau ke kandungan utama

Laluan JDT lebih getir

KEMUNCULAN Safiq Rahim menguatkan jentera serangan Melaka United.

KEMUNCULAN Safiq Rahim menguatkan jentera serangan Melaka United.

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Tiga bulan selepas berehat, Liga Malaysia (Liga M) musim baharu akan kembali esok, dan peminat bola sepak tanah air sudah tidak sabar untuk melihat persaingan sebenar di atas padang selepas pelbagai drama membayangi persiapan pramusim pasukan.
Daripada isu gaji tidak berbayar hinggakan kepada kontrovesi perpindahan pemain, kehangatan Liga M 2019 sebenarnya sudah dirasai sejak dua bulan lalu.
Pelaburan besar yang dilakukan pasukan, terutama 12 calon juara Liga Super yang dikatakan berbelanja hampir RM200 juta untuk mempersiapkan skuad masing-masing pasti menjanjikan aksi lebih menarik buat peminat tegar liga tempatan.
Melaka United yang menarik ramai nama besar seperti Safiq Rahim dan Liridon Krasniqi antara tumpuan untuk mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.
Begitupun, Johor Darul Ta’zim (JDT) tetap menjadi pilihan mempertahankan gelaran keenam berturut-turut dengan menghimpunkan sebahagian besar pemain tempatan terbaik.
Penampilan penyerang terbaik kebangsaan musim lalu, Akhyar Rashid yang ‘diambil’ secara kontroversi dari Kedah bakal menjadi tumpuan.
Pahang, Perak, Selangor, Kedah dan Terengganu turut menjadi pilihan untuk mencabar kelompok tiga terbaik manakala Perlis yang belum ‘bersih’ sepenuhnya daripada isu tunggakan gaji menjadi pilihan dalam Liga Perdana kerana berjaya menyambar pemain hebat seperti Safee Sali.
Begitupun, Singa Utara sudah berdepan tamparan sebelum liga bermula kerana dikatakan gagal melunaskan gaji pertama yang sepatutnya diterima Safee.
Bagi Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya sukar meramalkan pasukan yang bakal mendominasi Liga M musim ini, namun JDT antara calon utama untuk mempertahankan gelaran.
“Jika melihat dari segi kewangan dan barisan pemain, JDT menjadi pilihan sekali lagi untuk muncul juara liga, selain bakal mendominasi Piala Malaysia dan FA.
“Namun musim ini, mereka bakal mendapat cabaran lebih sengit dalam perebutan kejuaraan liga berbanding tahun sebelum ini yang dilihat JDT agak mudah bergelar juara.
“Saya jangkakan saingan Liga Super musim ini akan lebih se­ngit dan pelbagai kejutan akan disajikan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Begitupun, di sebalik ­ke­ghai­rahan merebut kejua­raan, Rezal berharap pasukan juga mengambil serius isu kebajikan pemain.

Ulasan