KUALA LUMPUR REBAH DI LARKIN

Kuala Lumpur Rebah Di Larkin

Johor Darul Takzim (JDT) meranapkan impian Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 apabila menewaskan pasukan pelawat (Kuala Lumpur) tersebut dengan keputusan 4-1, di sini sebentar tadi. Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang dilakar oleh JDT dan mudah menjinakkan Kuala Lumpur.
JDT turun tanpa kelibat Natxo Insa yang mengalami kecederaan ketika menentang Perak Sabtu lepas, pengendali JDT, Luciano Figueroa melakukan rombakan kecil dengan menyenaraikan Afiq Fazail dalam kesebelasan utama.Figueroa mengekalkan barisan sama ketika menewaskan skuad Perak 1-0 dalam aksi Piala Sumbangsih, Sabtu lalu.
Kelebihan beraksi di laman sendiri digunakan sepenuhnya oleh skuad Harimau Selatan untuk mengasak ke kubu skuad Kuala Lumpur menerusi beberapa gerakan berbahaya yang mencemaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Di babak pertama perlawanan, pasukan pelawat hampir membuka jaringan selepas Sylvano Comvales bijak melepasi perangkap ofsaid JDT pada minit ke-31 tetapi percubaan Comvales sekadar melepasi palang gol. Ketika itu penjaga gol JDT, Farizal Marlias sudah tertewas.
Pada minit ke-36, JDT mempunyai peluang terbaik untuk mencipta jaringan tetapi dipersia-siakan oleh Syafiq Ahmad yang sudah berjaya melepasi kawalan benteng Kuala Lumpur, namun bola rembatan dari luar kotak penalti hanya sipi daripada gawang gol.
Sehingga hampit tamat perlawanan di separuh masa pertama, JDT kelihatan kebuntuan untuk menjaringkan gol pertama. Dalam minit-minit terakhir masa kecederaan, babak pertama, pengadil perlawanan Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti selepas Hisyamudin Sha’ri mengasari Safawi Rasid di dalam kotak penalty.
Gonzalo Cabrera diberi tugas mengambil sepakan penalti tersebut, tanpa melepaskan peluang keemasan, merembat kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Mohd Sharbinee bagi memastikan JDT mendahului Kuala Lumpur 1-0.


Pada babak kedua perlawanan, pada minit ke-50, JDT hampir menambah jaringan selepas bola umpanan Aaron Niguez gagal disudahkan Safawi. Beliau cuba melencongkan bola ke hujung gawang gol, namun tersasar sipi dari tiang gol.
Beberapa minit selepas itu, Syafiq akhirnya menemui sentuhan penyudah selepas penyerang JDT itu mudah menampan bola menewaskan Mohd Sharbinee hasil bola sepakan lintang Corbin Ong bermula daripada gerakan Cabrera. Gol itu juga merupakan gol peribadi beliau ketiga sejak bersama JDT musim lepas.


Syafiq Ahmad, penjaring gol ke-2 JDT. Foto : The Photoshooters

Akhirnya saat-saat yang dinanti-nantikan penyokong JDT tiba apabila pemain import sensasi JDT, Diogo Luis Santo berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol JDT dan gol pertama beliau sejak bersama JDT pada minit ke-59. Gol tersebut berpunca daripada sepakan sudut yang diambil oleh Safawi yang mengelirukan. Diogo sekadar bola menewaskan Mohd Sharbinee.
Hasil gol tersebut meletakkan JDT dalam keadaan selesa mendahului Kuala Lumpur 3-0.
Namun Kuala Lumpur berjaya mencipta gol pada minit ke-77 selepas benteng tuan rumah melakukan kesilapan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya menyaksikan Comvales bertindak merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Farizal Marlias.
Azrif Nasrulhaq turut mencipta nama sebagai penjaring JDT selepas melengkapkan kemenangan tuan rumah 4-1 apabila merembat kencang bola di dalam kotak penalti menewaskan Mohd Sharbinee pada minit ke-89.


Jaringan bermakna untuk Azrif Nasrulhaq

Gol Azrif Nasrulhaq, pertahanan JDT itu merupakan gol pertama peribadi beliau sejak bersama JDT sejak 2017.


Statistik JDT vs KL – Astro.my

Dengan berakhirnya perlawanan itu, JDT berjaya menduduki tangga teratas Liga Super 2019 dengan mengutip 6 mata penuh sekurang-nya untuk hari ini kerana pasukan Pahang dan Melaka United masih belum bermain dalam perlawanan kedua mereka. Setidak-tidaknya, JDT memperbaiki kedudukan tangga ke-4 sebelum ini ke tangga ke-2 atau ke-3 bergantung kepada keputusan perlawanan Melaka United dan Pahang. Jika kedua-dua pasukan itu tewas, maka JDT kekal di tangga teratas.


Setakat ini 4 pemain JDT sudah berjaya mencipta sebagai penjaring gol JDT iaitu Gonzalo Cabrera (2), Syafiq Ahmad (1), Diogo Luis Santo (1) dan Azrif Nasrulhaq (1).
Safawi Rasid masih belum memecah kebuntuan menyumbat gol apabila sehingga dua perlawanan masih belum berhasil mencipta sebarang gol lagi. Walaupun tadi, banyak percubaan dari beliau tersasar atau dapat diselamatkan oleh penjaga gol lawan.
Perlawanan berikut JDT adalah menentang Terengganu, tempat kelahiran Safawi pada 15 Februari depan. Adakah Safawi akan tunjukkan pada penyokong JDT bahawa tiba masanya nanti jaringan gol pertama beliau adalah di Kuala Terengganu.
Keputusan perlawanan malam ini (08.02.2019) :
JDT (4) – (1) Kuala Lumpur
Perak (1) – (1) Kedah
Perlawanan hari ini (09.02.2019) :
Pahang vs Terengganu FC
Petaling Jaya BC vs Selangor
PKNS FC vs Melaka United
Perlawanan pada 10.02.2019 :
Felda United vs PKNP
Foto Kredit : The Photoshooterz

Ulasan