Langkau ke kandungan utama

KL tempang hadapi JDT

PEMAIN Pahang, MOHAMADU SUMAREH (kanan) cuba melepasi halangan

PEMAIN Pahang, MOHAMADU SUMAREH (kanan) cuba melepasi halangan pemain Kuala Lumpur dalam perlawanan Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras Jumaat lalu yang berkesudahan Pahang menang 3-1. - UTUSAN/SYEFRY MONIZ

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kuala Lumpur menerima tamparan hebat apabila tidak dapat menggunakan khidmat import Guilherme de Paula dalam aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini selepas penyerang dari Brazil itu mengalami kecederaan di bahagian betis.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah enggan menekan butang panik sebaliknya berharap setiap pemain yang diturunkan dapat memberi aksi terbaik bersama pasukan meskipun berdepan juara Liga Super lima kali berturut-turut.
“Ketiadaan De Paula mengganggu perancangan saya. Selain itu juga, Achmad Jufriyanto sehingga kini masih tidak membuat penampilan bersama pasukan kerana dia cedera buku lali selama lima minggu dan saya tidak tahu bila dia boleh bermain.
“Dengan masa yang singkat, saya perlu membuat rombakan. Selepas kami tewas dengan Pahang (3-1) saya lihat keyakinan pemain bertambah baik.
“Saya tidak nampak motivasi pemain hilang. Saya berharap, sesiapa yang diturunkan mereka perlu menggunakan peluang yang ada untuk membalas keyakinan kepada pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Yusri menyedari untuk melakar kemenangan menentang ke atas JDT bukan tugas mudah namun jika Kuala Lumpur berjaya membawa pulang satu mata sudah memadai.
“Mendapat keputusan seri satu kejayaan untuk kami. Saya tidak cakap kami akan bertahan tetapi kami perlu mengimbangi perlawanan walaupun sudah pasti Kuala Lumpur tidak boleh bermain seperti JDT yang rata-ratanya dibarisi pemain kebangsaan dan import yang berkualiti.
“Begitu pun, sebelum tamatnya 90 minit, kami akan usaha untuk mengekang asakan JDT,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE

Ulasan