Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menganggap pasukan kendaliannya masih belum mampu untuk mencabar kejuaraan milik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mendominasi pentas Liga Super selama lima musim berturut-turut.
Beliau berkata demikian selepas daripada aksi sulung Liga Super 2019 melibatkan Kuala Lumpur dan Pahang yang berkesudahan dengan jaringan 1-3 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada jumaat lepas.
Apa yang menjadi keutamaan buat pengendali berusia 55 tahun ini adalah memberikan perhatian kepada setiap perlawanan yang dihadapi termasuk perlawanan ke-2 menentang naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC yang dijadualkan pada sabtu ini di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
“Perjalanan masih jauh lagi. Kita fokus perlawanan demi perlawanan dahulu. Kita tidak mahu gelojoh sangat,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Mengulas mengenai kemenangan dalam aksi pembukaan Liga Super tempoh hari, beliau amat berpuas hati dengan persembahan para pemain terutamanya penyerang kelahiran Nigeria, Dickson Nwakaeme yang menjaringkan dua gol dan bintang muda Indonesia, Saddil Ramdani yang menjaringkan satu gol.
Disamping itu, Dollah turut memberikan kredit kepada barisan pertahanan Tok Gajah yang diketuai oleh pemain import dari Perancis, Herold Goulon yang bergandingan cemerlang bersama Muslim Ahmad dalam merantai pergerakan Guilherme De Paula dan Sylvano Comvalius.
“Sudah tentu kita mahukan kemenangan pada aksi pertama kerana ia dapat menyuntik moral pemain supaya dapat terus memberikan aksi terbaik pada perlawanan seterusnya.
“Berbanding aksi pra-musim, aksi malam ini jauh lebih baik meskipun kita seharusnya boleh mendapatkan lebih banyak gol.
“Namun kita akui kita berada dalam keadaan tertekan. Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan yang memainkan peranan yang besar apabila berjaya menyekat serangan balas pantas Kuala Lumpur,” katanya.
Foto Kredit: Pahang FA
Ulasan
Catat Ulasan