Langkau ke kandungan utama

Kecederaan, tangguh penampilan Fellaini bersama Shandong

MAROUANE FELLAINI ditimpa kecederaan betis yang menyebabkan dia

MAROUANE FELLAINI ditimpa kecederaan betis yang menyebabkan dia terpaksa menundakan penampilan sulung bersama kelab baharunya, Shandong Luneng. - AFP

HONG KONG 4 Feb. - Penampilan sulung Marouane Fellaini bersama kelab China, Shandong Luneng terpaksa ditunda bagi membolehkan bekas pemain tengah Manchester United itu mendapatkan rawatan kecederaan betis yang dialaminya, kata jurulatih kelab itu, hari ini.
Pemain berusia 31 tahun itu tiba di Hong Kong, semalam bagi bertemu dengan rakan sepasukan dan menandatangani autograf untuk peminat, tetapi dia terlepas sesi latihan dan terpaksa terbang pulang ke Belgium bagi mendapatkan rawatan.
Fellaini dijangka melakukan penampilan pertamanya bersama kelab itu dalam perlawanan jemputan di Hong Kong sempena sambutan Tahun Baharu Cina, esok.
“Sudah tentu kami sangat gembira dia menyertai kelab. Tetapi antara kesihatan dan perlawanan, kami fikir kesihatannya lebih penting,” kata jurulatih Shandong, Li Xiaopeng kepada pemberita.
Xiaopeng tidak pula memaklumkan sama ada pemain antarabangsa Belgium itu akan sempat pulih sebelum bermulanya Liga Super China, 1 Mac ini.
Jumaat lalu, Manchester United mengumumkan bahawa Fellaini akan menyertai Shandong selepas melakukan 177 penampilan bersama Red Devils sepanjang lima setengah musim dan menjaringkan 22 gol.
Bekas pemain Everton itu, yang menandatangani kontrak baharu bersama United sehingga 2020, menjadi tonggak di Old Trafford sewaktu di bawah pengurus sebelum ini, Jose Mourinho. - AFP

Ulasan