KUALA TERENGGANU: Berita gembira buat kem pasukan Terengganu FC (TFC) menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) Jumaat ini apabila penjaga golnya, Wan Muhammad Azraie Wan Teh tidak mengalami kecederaan serius.
Malah penjaga gol berusia 33 tahun kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu sudah mampu menjalani latihan bersama pasukan sebagai persiapan menghadapi juara bertahan Liga Super itu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
“Saya sudah pulih walaupun ada kesan lebam di bahagian kiri atas kepala dan berhampiran dengan kening, selain di bibir atas dan bawah ada pecah sikit pada bahagian dalam.
“Saya sudah menjalani rawatan dengan pegawai perubatan pasukan dan keadaan kembali baik, InsyaAllah, saya mampu beraksi bertemu dengan JDT pada Jumaat ini.
“Jika diberi peluang saya akan mempamerkan aksi terbaik sebagaimana sebelum ini apatah lagi pertemuan dengan skuad itu pastinya menjadi tumpuan peminat setia kedua-dua pasukan,” kata Azraie.
Sabtu lalu, bekas penjaga gol Pahang dan T-Team itu terpaksa digantikan dengan penjaga gawang simpanan, Mohd Ilham Amirullah Razali pada pertengahan babak pertama susulan pertembungan dengan penyerang skuad Tok Gajah, Dickson Nwakaeme pada minit ke-13.
“Akibat insiden itu, saya gagal meneruskan permainan selepas kepala mula terasa pening sebelum meminta dikeluarkan bagi mengelak berlaku kecederaan lebih serius apatah lagi ketika itu pasukan ketinggalan,” kata Azraie yang mengakui kecewa selepas pasukannya tewas 0-3 kepada skuad Tok Gajah.
Selain Azraie, skuad TFC mempunyai dua lagi pilihan mengawal gawang gol, Mohd IIham Amirullah dan Mohd Sufiian Abdul Rahman.
Ulasan
Catat Ulasan