KAMI HORMATI JDT – KAMI ADA SENJATA BAHARU
Tidak hanya mengharapkan Sandro Da Silva, sebaliknya pengendali Selangor B. Sathianathan turut menjadikan dua lagi ‘senjata’ baharu Red Giants, Khyril Muhymeen dan Fandi Othman sebagai taruhan bagi memburu kemenangan pertama apabila berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
Sejak tirai Liga Super musim 2019 disingkap pada awal bulan ini, Selangor antara lima pasukan yang belum mengutip tiga mata selepas mencatat tiga keputusan dan tewas sekali.
Bagaimanapun selepas hampir sebulan, rentak permainan Red Giants berjaya diperbaiki dalam perlawanan terakhir ketika mengikat Pahang 1-1 di Kuantan, semalam.
Bagi Sathianathan, kehadiran Sandro dari Kedah, Khyril Muhymeen (Perlis) dan Fandi (PKNS FC) tepat pada masa dalam usaha membina sebuah pasukan yang lebih kuat.
“Saya tidak berharap kepada Sandro semata-mata, sebab kena ingat kami juga ada Khyril dan Fandi. Jangan fikir itu (mengharapkan Sandro seoarang), sebaliknya kita perlukan pemain berkualiti bagi membina satu pasukan yang kuat.
“Kita tidak seperti JDT, Pahang, Kedah, Terengganu, Perak. Mereka sudah lama berada di tahap tertinggi dan sekadar menambah jentera untuk menguatkan barisan mereka.
“Akan tetapi, Selangor dalam 2 hingga 3 tahun ini banyak pertukaran. Jadi saya harap dengan masa singkat ini kita setanding dengan pencabar utama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Sathianathan turut mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu gentar berdepan Harimau Selatan biarpun pasukan tersebut memiliki reputasi dan imej yang tinggi, malah belum pernah tewas musim ini.
“JDT adalah pasukan hebat, jarang kalah dan mempunyai pemain berkualiti baik tempatan mahu pun import. Barisan simpanan mereka juga ramai dalam kalangan skuad kebangsaan.
“Kami hormati JDT tetapi kami akan bermain cara kami, cuba bagi 100 peratus. Seperti biasa, saya minta pemain saya supaya bekerja keras dan jangan terlampau kagum dengan kekuatan JDT biarpun sedar bukan mudah berdepan mereka,” katanya.
Sumber : Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan