TERENGGANU FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) sama handal apabila masing-masing mengutip satu mata selepas seri 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.
Terengganu bermula garang dengan asakan pertama pada minit kedua menerusi ayam tambatannya, Kipre Tchetche yang dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti tetapi tidak dilayan pengadil Nazmi Nasiruddin.
Pada minit ketujuh stadium keramat itu kembali bergema dengan sorakan lebih 10,000 peminat setia tuan rumah apabila Khairul Izuan Rosli meledak jaringan pertama hasil umpanan leret Lee Tuck untuk mendahului 1-0.
Bagaikan harimau luka, juara bertahan Liga Super itu bangkit mengasak kubu tuan rumah dan pada minit ke-31, mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Diogo Santo dijatuhkan Thierry Chantha Bin, namun sepakan yang diambil sendiri pemain dari Brazil itu tersasar ke sebelah kanan pintu gol tuan rumah.
Gol yang dinantikan pelawat akhirnya tiba selepas sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-62 yang disudahkan pemain kelahiran Terengganu, Safawi Rasid.
Enam minit kemudian, Diogo menebus ‘dosanya’ apabila meledak jaringan kedua pasukannya selepas mudah menolak masuk berpunca sepakan sudut pemain gantian, Aaron Niguez untuk mendahului 2-1.
Penantian tuan rumah untuk menyamakan kedudukan berhasil pada minit ke-90 apabila Kamal Azizi Zabri bijak memanfaatkan peluang hasil situasi kelam-kabut depan gol pelawat untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Sebelum sepak mula, kedua-dua pasukan serta peminat menghadiahkan Surah Al-Fatihah kepada wira Darul Iman, arwah Abdul Bari Asyraf Mohd yang lemas ketika menyelamatkan lima mangsa yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu baru-baru ini.
Ulasan
Catat Ulasan