Jika benar apa yang ditulis Tunku Ismail Sultan Ibrahim di instastory beliau, maka juara Liga Super lima kali berturut turut Johor Darul Takzim (JDT) perlu bersedia berdepan sebuah kehilangan yang cukup besar.
Tunku Ismail yang merupakan pemilik kelab itu, tampak terganggu dengan sesuatu sejak kebelakangan ini dan dalam muatnaik terbaru di instastory peribadi, beliau seolah meluahkan kekecewaan dan memberi bayangan akan meninggalkan pasukan itu.
“Semua sibuk cakap pasal (Mario) Gomez, Safiq Rahim, (Jorge Pereyra) Diaz, Aaron (Niguez), tapi mereka lupa siapa yang lahirkan kelab ini dan siapa yang rekrut mereka semua ini. Pemain dan jurulatih keluar masuk tetapi tetap menang 16 piala termasuk empat piala belia, 12 piala pasukan senior.
“Tiba masanya mereka akan sedar. Sama macam Real Madrid, semua ingat CR7 (Cristiano Ronaldo), tapi tak semua hargai Florentino Perez. Kalau tiada beliau, tiada Galacticos, tiada semua pemain yang beliau rekrut dan tiada semua piala yang dimenangi akhir akhir ini.
“Jujur cakap, ini mungkin akan menjadi tahun terakhir saya, cukuplah setakat ini, terima kasih. Tidak lama lagi, selamat tinggal,” luahnya.
Luahan itu hadir beberapa hari selepas Tunku Mahkota Johor itu meminta maaf kepada penyokong dan menyalahkan diri sendiri sebagai punca kepada beberapa isu semasa di kem harimau selatan, termasuklah keputusan melepaskan pemain tengah Aaron Niguez dan membawa masuk semula Leandro Velazquez.
Sebagai rekod, sejak Tunku Ismail hadir dan merevolusikan JDT pada 2013, pelbagai pencapaian diraih oleh pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Johor FC itu, pelbagai tanda aras baru ditetapkan.
Daripada sebuah pasukan yang tidak pernah memenangi apa apa dan jarang sekali menjadi tumpuan, JDT bukan sahaja menjadi sebutan penyokong bolasepak tanah air, tetapi nama mereka turut menjadi siulan di pentas Asia.
Selain pernah diperkuatkan oleh pemain pemain ternama tempatan dan terbaik dalam negara, tetapi bintang bolasepak dunia seperti Pablo Aimar, Daniel Guiza dan Luciano Figueroa (kini pengurus pasukan), juga pernah menyarung jersi pasukan ini.
Trofi saban tahun bertambah dan kemuncak segala pencapaian sudah pastinya menjuarai Piala AFC pada 2015 selain menjadi kelab pertama dari Malaysia untuk layak beraksi di saingan Kejuaraan Liga Juara Juara Asia 2019.
Justeru, andai TMJ mahu angkat kaki, bersediakah penyokong JDT untuk berdepan kehilangan ini?
Ulasan
Catat Ulasan