PEMAIN JDT, Syafiq Ahmad (tengah) diasak dua pemain Perak iaitu Shahrul Saad (kiri) dan Zac Anderson (kanan), dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini. - UTUSAN/NUR AISYAH MAZALAN
KUALA LUMPUR 2 Feb. - Johor Darul Ta’zim (JDT) memastikan Piala Haji Sultan Ahmad Shah terus kekal di bumi Johor apabila skuad Harimau Selatan itu menewaskan Perak 1-0 dalam aksi Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, hari ini.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Gonzalo Cabrera pada minit ke-41 dan kemenangan tersebut memberikan tiga mata berharga buat JDT dalam saingan Liga Super.
Dalam pada itu, Melaka United bermula dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan PJ City FC 2-1 di Stadium Hang Jebat. Dua gol Melaka United masing-masing dijaringkan oleh Liridon Krasniqi pada minit ke-46 sebelum Casagrande menggandakan jaringan seminit sebelum rehat.
Gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh R. Barathkumar pada minit ke-58.
Kedah pula berjaya membawa pulang tiga mata berharga apabila menundukkan PKNP FC 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dalam satu lagi aksi Liga Super.
Skuad Lang Merah itu bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-66 sebelum berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Shakir Hamzah sebelum Jonatan Bauman meledak gol kedua ketika permainan berbaki empat minit.
Sementara itu, dalam saingan Liga Perdana pula menyaksikan Sabah terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Likas, Kota Kinabalu meskipun mereka terlebih dahulu berada di depan. Skuad kendalian Jelius Ating berada di depan seawal minit ke-13 menerusi jaringan Luka Milunovic.
Bagaimanapun, JDT II berjaya bangkit menerusi jaringan Mohamad Ghaddar pada minit ke-64 sebelum Rozami Abd. Rahman meledak gol kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit.
Negeri Sembilan menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. Dua gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-10 dan Almir pada minit ke-52 manakala gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Pedro Henrique selang tiga minit kemudian.
Terengganu II pula memastikan tiga mata menjadi milik mereka selepas menundukkan Pulau Pinang 3-2 di Stadium Bandaraya, George Town. Tiga gol Terengganu II dijaringkan oleh Ramzi Sufian pada minit ke-23, Bruno Suzuki minit ke-46 dan Serhii Andrieiev minit ke-79. Dua gol tuan rumah dihasilkan oleh Sebastian Thuriere pada minit ke-35 dan Julain Bottaro minit ke-70. - UTUSAN ONLINE
Ulasan
Catat Ulasan