PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) menjadikan UKM FC mangsa apabila melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menang 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.
JDT II yang kembali diperkuatkan dengan kehadiran semula Nicolas Fernandez selepas pemain import dari Argentina itu tidak beraksi ketika menewaskan Sabah 2-1, Sabtu lalu menguasai kawasan tengah menerusi umpanan menarik.
Tuan rumah hampir mencipta jaringan seawal minit keenam selepas bola sepakan sudut S Kumaahran melencong tepat ke penjuru kiri gol namun hanya sipi dari gawang gol ketika penjaga gol UKM FC, Daniel Wafiudidin Sa'dun sudah tertewas.
Kelibat Mohammed Ghaddar yang kembali mewarnai Liga Malaysia tampak masih berbisa walaupun sudah dianggap pemain veteran apabila meledak gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-19 dengan rembatan padunya tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Daniel Wafiuddin.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Sulaiman Hussin mula mengatur serangan untuk memburu gol penyamaan namun benteng skuad Merah Biru gandingan Dominic Tan dan Bruno Soares bijak mengekang asakan rangkaian serangan Michael Ijezie dan Mateo Roskam.
Sedikit kesilapan benteng tuan rumah pada minit ke-32 hampir dihukum Roskam yang pantas mengambil kesempatan untuk merembat bola dari luar kotak penalti mujur penjaga gol, Mohd Haziq Nadzli bingkas merebahkan badan untuk menangkap bola kemas.
Malang buat UKM FC apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-42 selepas kapten Mohd Akmal Md Zahir dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan, Abang Azharudin Abdullah kerana melakukan terjahan keras terhadap Ghaddar.
Walaupun pelawat beraksi dengan 10 pemain, situasi itu tidak menghalang pasukan itu bangkit menyamakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama selepas K Reuben menampan bola tatkala berlaku kekalutan di dalam kotak penalti berpunca daripada sepakan sudut Milad Mansour.
Tuan rumah kembali meledak gol kemenangan pada babak kedua selepas hantaran menarik Ghaddar pada minit ke-55 tepat kepada Kumaahran yang mudah menanduk bola masuk menewaskan Daniel Wafiudidin dan jaringan 2-1 memihak JDT II kekal sehingga tamat perlawanan.
Ulasan
Catat Ulasan