PASIR GUDANG: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menundukkan Perlis 2-1 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.
Skuad yang diberi jolokan Merah Biru menguasai separuh masa pertama perlawanan dengan menghasilkan beberapa serangan dan asakan ke kubu Singa Utara.
JDT II berpeluang menjaringkan gol menerusi gerakan pemain import Argentina, Nicolas Fernandez, yang kembali memperkuat pasukan pada aksi perlawanan menentang UKM FC minggu lalu tetapi gagal disempurnakan Mohamad Ghaddar pada minit ke-10.
Perlis hampir mencipta jaringan lima minit berselang apabila sepakan percuma Safee Sali terkena palang dengan tuan rumah turut memperoleh peluang tetapi sepakan penjuru Kumaahran Sathasivam gagal disudahkan Bruno Soares pada minit ke-20.
Separuh masa kedua menyaksikan JDT II mengatur lebih banyak serangan dan berjaya merobek gawang pelawat pada minit ke-72 menerusi rembatan Bruno Soares.
Tetapi, ia tidak melemahkan semangat skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid apabila berpunca serangan balas, mereka akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-85 hasil rembatan Kevin Osei.
Gol itu begitupun hanya meningkatkan semangat juang JDT II yang tampak lebih agresif mengatur serangan dan ia berhasil apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 hasil tendangan Nicolas Fernandez.
Ulasan
Catat Ulasan