'JDT belum cukup bagus'



PENGURUS Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa kecewa pemainnya gagal menyerlah. - Foto Owee Ah Chun

JOHOR BAHRU: Pengurus Johor Darul Ta'zim (JDT), Luciano Figueroa tidak dapat menyembunyi perasaan kecewa apabila barisan pemainnya gagal menyerlah pada aksi babak pertama sebelum bangkit melakar kemenangan 4-1 menewaskan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Beliau yang juga selaku ketua jurulatih skuad Harimau Selatan menyifatkan persembahan aksi babak pertama bukanlah yang cara JDT beraksi di padang tatkala pemain tampak begitu statik dan tidak menggerak bola dengan pantas dan sering mengumpan bola ke belakang.
Malah katanya, ketiadaan Natxo Insa di posisi tengah menjejaskan kelancaran gerakan di posisi itu yang tampak terbatas dan mudah dipatahkan skuad kendalian Yusri Che Lah yang mengamalkan corak bertahan dan serang balas.
"Kami tidak bermain bola sepak dengan baik pada babak pertama, pemain kerap statik dan hilang punca namun gol pada penghujung babak pertama menerusi sepakan penalti menyuntik semangat setiap pemain yang sedar keutamaan untuk mencari kemenangan di laman sendiri.
"Sebaik babak kedua bermula, kami mula bangkit dan memperbaiki beberapa kesilapan malah saya mengambil langkah dengan melakukan rombakan kecil dengan mengeluarkan pemain dan barulah nampak kelancaran gerakan.
"Menerusi serangan demi serangan yang kami lakukan, kami berjaya mencipta tiga gol pada babak kedua dan kami akui aksi menentang Kuala Lumpur amat sukar kerana mereka kurang menyerang sebaliknya akan ambil kesempatan dengan serangan balas yang pantas," katanya.
Mengulas mengenai permainan Pemain Paling Bernilai Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018, Safawi Rasid, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan pemain itu mula menunjukkan peningkatan mendadak berbanding aksi pertama ketika menentang Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih, Sabtu lalu.
Malah katanya, bukan Safawi sahaja yang menyerlah namun kelibat Afiq Fazail dan Syafiq Ahmad ternyata konsisten walaupun pada babak pertama agak hilang corak permainan sebelum mereka bangkit dengan persembahan berkualiti.
"Itu yang saya inginkan daripada pemain tempatan apabila mereka tidak lagi dibayangi dengan kehebatan pemain import malah mereka berani untuk beraksi konsisten dan memperaga disiplin tinggi apabila beraksi di padang," kata Figueroa.

Ulasan