Johor Darul Ta’zim muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Perak 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.
Kejayaan keempat tersebut dibantu jaringan tunggal yang ‘bersahaja’ oleh Gonzalo Cabrera.
Aksi kedua-dua pasukan pada babak pertama boleh diibaratkan seperti langit dan bumi apabila tuan rumah tampil dengan amat meyakinkan manakala Perak nyata hilang punca.
Seperti kebiasaan, JDT begitu tenang mengawal permainan dengan kualiti hantaran yang cukup baik dipamerkan para pemain mereka.
Skuad bimbingan Mehmed Durakovic pula jelas tercari-cari rentak dan kegagalan pemain mereka untuk mengawal bola dengan baik memberikan peluang luas buat JDT mencipta gerakan bertali-arus ke kubu Perak.
Muhammad Safawi Rasid mencemaskan pintu gol Perak pada minit ketujuh menerusi satu rembatan padu dari luar kawasan penalti, bagaimanapun Muhammad Hafizul Khairul Nizam Jothy bertindak cemerlang menafikan percubaan tersebut.
Berselang empat minit kemudian, Hafizul sekali lagi menggagalkan usaha yang dilancarkan Safawi hasil rembatan leret, juga dari luar kawasan penalti.
Penantian JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-40 setelah Gonzalo Cabrera berjaya membuka tirai jaringan.
Cabrera dengan tenang melakukan percubaan lambung yang menyaksikan Hafizul dan pertahanan Perak melihat bola membolosi gawang gol mereka.
Perak berusaha untuk mengubah rentak permainan dengan mencipta gerakan sebaik sahaja babak kedua bermula.
Namun, selepas itu JDT yang dibimbing Benjamin Mora kembali memperlihatkan penguasaan.
Bagaimanapun tidak banyak yang dapat disaksikan selepas itu apabila gerakan-gerakan yang dicipta tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan.
Peluang terbaik dimiliki JDT pada minit ke-70 menerusi sepakan percuma oleh Aaron Niguez Esclapez di sebelah kanan pintu gol, namun Hafizul tidak berdepan masalah untuk menepis keluar percubaan itu.
Lambungan yang dilakukan Diogo Luis Santo ketika hanya berhadapan dengan Hafizul Hakim juga gagal menghasilkan gol.
Perak yang gagal mencipta sebarang percubaan tepat terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila Shahrel Fikri Md Fauzi gagal menanduk bola hasil umpanan tandukan dilakukan Wander Luiz Bitencourt Junior.
Keputusan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan sekaligus turut menghadiahkan tiga mata pertama buat JDT dalam saingan Liga Super.
Kredit foto: Johor Southern Tigers
Ulasan
Catat Ulasan