- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Jangan terlampau kagum dengan JDT, kami akan berikan 100% menentang mereka – B. Sathianathan
Menjelang pertemuan di antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jumaat ini, ketua jurulatih Gergasi Merah, B. Sathianathan menasihatkan anak buahnya agar tidak terlalu mengagumi skuad Harimau Selatan dan akan memberikan 100% usaha untuk menentang mereka.
Walaupun sedar, JDT yang rata-ratanya terdiri daripada pemain berkualiti samada import ataupun tempatan, pengendali berusia 60 tahun ini ada ramuan tersendiri untuk menghadapi juara bertahan Liga Super tersebut disamping memiliki kelebihan bermain di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam.
“JDT adalah pasukan hebat, jarang kalah dan mempunyai pemain berkualiti baik tempatan mahu pun import. Barisan simpanan mereka juga ramai dalam kalangan skuad kebangsaan.
“Kami hormati JDT tetapi kami akan bermain cara kami, cuba bagi 100 peratus. Seperti biasa, saya minta pemain saya supaya bekerja keras dan jangan terlampau kagum dengan kekuatan JDT biarpun sedar bukan mudah berdepan mereka,” katanya seperti dilaporkan oleh Utusan Malaysia.
Dan semalam, pemain import yang diikat Selangor pada saat akhir jendela perpindahan, Sandro Da Silva Mendonca kelihatan turut menjalani latihan bersama rakan sepasukan di kem Merah Kuning.
Ditanya kepada B. Sathianathan adakah Sandro bakal menjadi senjata utama buat Gergasi Merah untuk memburu kemenangan pertama ke atas JDT pada jumaat ini, beliau lebih suka menekankan kepada kekuatan sebagai sebuah pasukan berbanding tertumpu kepada seseorang individu atau pemain sahaja.
Tambahan pula, tidak seperti pasukan elit yang lain, beliau memerlukan masa untuk membina kembali Selangor sebagai sebuah pasukan yang mantap seterusnya mampu memberikan saingan dalam kesemua pertandingan domestik iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya tidak berharap kepada Sandro semata-mata, sebab kena ingat kami juga ada Khyril dan Fandi. Jangan fikir itu (mengharapkan Sandro seoarang), sebaliknya kita perlukan pemain berkualiti bagi membina satu pasukan yang kuat.
“Kita tidak seperti JDT, Pahang, Kedah, Terengganu, Perak. Mereka sudah lama berada di tahap tertinggi dan sekadar menambah jentera untuk menguatkan barisan mereka.
“Akan tetapi, Selangor dalam 2 hingga 3 tahun ini banyak pertukaran. Jadi saya harap dengan masa singkat ini kita setanding dengan pencabar utama,” katanya lagi.
Foto Kredit: FA Selangor / asiana.my
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan