KUANTAN: Pengendali Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abu Salim tidak panik biarpun skuadnya sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan Liga Super setakat ini.
Menurut Irfan, kekalahan 3-0 di tangan Pahang malam tadi uga tidak menggambarkan prestasi sebenar skuad Penyu yang juga naib juara Piala Malaysia musim lalu.
"Perjalanan Liga Super masih jauh kerana baru saja mengharungi dua perlawanan, tetapi kelemahan yang ada akan diperbaiki sebagai persediaan pada perlawanan akan datang,” kata Irfan.
"Tapi saya akui semua pemain perlu bangkit pada perlawanan ketiga bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di laman sendiri selepas ini.
"Bagi saya, kami tewas kepada pasukan yang terbaik dalam saingan liga dan kita berusaha untuk memberi tekanan tetapi gagal menyekat asakan."
Mengulas kegagalan itu Irfan Bakti berkata, aksi bertahan yang dipersembahkan anak buahnya terutama pada separuh masa pertama ternyata memakan diri.
Katanya, pada masa sama, skuad kendaliannya tiada peluang untuk memasuki kawasan tuan rumah dan kesempatan itu dilakukan sebaiknya Pahang apabila menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12.
"Pemain bermain terlampau bertahan yang menyebabkan saya melakukan perubahan pada babak kedua tetapi kami gagal untuk mendapatkan jaringan.
"Saya akui Dickson Nwakaeme memainkan peranan utama buat skuad Tok Gajah terutama ketajaman di bahagian serangan yang menyebabkan kami tewas.
"Pada masa sama, prestasi kurang mantap yang dipersembahkan Tchetche Kipre juga antara faktor di mana dia memiliki dua peluang merobek gawang lawan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan