Langkau ke kandungan utama

Irfan mahu TFC fokus perlawanan menentang JDT Jumaat ini

 Irfan Bakti Abu Salim

Irfan Bakti Abu Salim

KUALA NERUS 13 Feb. - Jurulatih Terengganu FC (TFC) Irfan Bakti Abu Salim mahu pemainnya melupakan episod kekalahan 3-0 dengan Pahang dalam saingan Liga Super Sabtu lepas dan fokus kepada pertembungan menentang skuad Harimau Selatan Jumaat ini.
Beliau berkata, dua perlawanan sebelum ini disifatkan sebagai 'siren bangun tidur' yang menuntut pemain segera bangkit serta mempamer aksi terbaik bagi mengelak daripada terus ketinggalan.
"Yang pertama kita seri 1-1 kepada PKNS FC dan kedua kita kalah 3-0 di tangan Pahang.
"Kalah pula bukan sebagai anak jantan. Ini kerana separuh masa pertama tu kita memang dah dikuasai Pahang, tetapi masa kedua pemain sudah bangkit, cuma kita tak dapat jaringkan gol dengan peluang yang ada," katanya ketika ditemui pada majlis pertemuan antara penaja Kopi Super Jantan bersama pemain TFC di Stadium Gong Badak, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan GLE Centre Enterprise, Zukifli Harun.
Menjelang perlawanan menentang JDT itu juga nanti, Irfan Bakti turut mengingatkan pemainnya supaya lebih berhati-hati, tidak leka dan mengulangi kesilapan sama seperti dua perlawanan sebelum ini.
Menyifatkan JDT sebagai pasukan yang licik dan mantap daripada segi taktikal, beliau mahu semua pemainnya menyumbangkan prestasi terbaik terutama di benteng pertahanan yang agak lemah sehingga menyebabkan TFC dihukum dengan keputusan 3-0 pada perlawanan dengan Pahang.
"Walaupun JDT adalah pasukan kuat, kita pernah kalahkan mereka dan semua pasukan ada peluang masing-masing.
"Jadi jangan putus asa, fokus dan dapatkan kemenangan sulung kita pada perlawanan di laman sendiri Jumaat nanti," katanya yang sudah menyiapkan senarai pemain yang bakal turun pada hari itu nanti. - BERNAMA

Ulasan